top of page

Autisme dan Keregangan Otot Rendah (Low Muscle Tone)

Tahukah anda kira-kira *30% kanak-kanak dengan autisme mempunyai keregangan otot rendah dan perkara ini akan mempengaruhi perkembangan motor kasar dan motor halus.


Otot

Mungkin anda pernah dengar perkataan “low muscle tone” apabila doktor atau terapis menjelaskan kondisi anak anda tetapi tahukah anda apakah itu low muscle tone atau keregangan otot rendah?


Bagaimana keregangan otot rendah boleh mempengaruhi perkembangan kanak-kanak dengan autisme?


Dalam blog ini saya akan menjelaskan dengan lebih teliti mengenai keregangan otot dan kesan keregangan otot rendah pada kanak-kanak dengan autisme.


 

Definisi Keregangan Otot


Sebelum saya menjelaskan apa itu keregangan otot rendah, anda harus faham apa itu keregangan otot terlebih dahulu.


Keregangan otot merupakan ketegangan yang ada pada otot dalam keadaan rehat (tiada pergerakan). Otot akan sentiasa mempunyai sedikit tahap ketegangan dalam keadaan rehat untuk membolehkan otot menstabilkan sendi, mengekal dan mengawal posisi badan dan melawan daya graviti secara berterusan.


 

Keregangan Otot Rendah


Keregangan otot rendah juga dikenali sebagai hipotonia, i.e. otot akan kelihatan lemah dan lembik.


Contoh yang paling mudah untuk anda memahami perbezaan keregangan otot rendah dengan keregangan otot normal ialah dengan menggunakan gelang getah:


Gelang getah A= Keregangan otot normal

Gelang getah B= Keregangan otot rendah


Gelang getah A merupakan gelang baru dan mempunyai daya/ ketahanan elastik yang baik. Gelang getah B pula merupakan gelang yang longgar dan tidak mempunyai daya/ ketahanan elastik yang baik.


Sekiranya anda hendak mengikat rambut, gelang A hanya memerlukan dua pusing ikatan untuk mengikat rambut manakala gelang B memerlukan tiga ikatan.


Ini bermaksud kanak-kanak dengan keregangan otot rendah juga boleh melakukan aktiviti biasa seperti kanak-kanak dengan keregangan otot normal tetapi mereka memerlukan usaha dan tenaga yang lebih banyak untuk melakukan sesuatu aktiviti.


Oleh sebab itu, mereka mengambil masa lebih lama untuk melakukan satu aktiviti.


 

Kesan Keregangan Otot Rendah Dalam Perkembangan


  • Kelewatan dalam pencapaian perkembangan motor kasar seperti lambat merangkak dan berjalan

  • Menghadapi masalah untuk duduk tegak dan duduk lama di atas kerusi di dalam kelas

  • Mungkin mempunyai tapak kaki rata atau tapak kaki menghala ke arah dalam ketika berjalan

  • Sukar untuk menumpukan perhatian dalam kelas

  • Kelewatan dalam pencapaian perkembangan motor halus seperti menulis dan menggunakan gunting

  • Cepat berasa letih kerana kurang ketahanan badan.

  • Lebih suka duduk posisi w (w-sitting)

  • Tidak suka melakukan aktiviti yang lasak seperti memanjat monkey bar dan berlari.

  • Senang jatuh atau terseliuh ketika bermain atau berlari

  • Mempunyai kesukaran untuk menguasai kemahiran bermain bola seperti membaling, menangkap dan menyepak bola


 

Peranan Fisioterapis Dalam Membantu Kanak-Kanak Autisme Yang Mempunyai Keregangan Otot Rendah


Fisioterapis merupakan seorang profesional kesihatan yang merawat pelbagai penyakit berkaitan dengan otot, sendi dan saraf.


Matlamat fisioterapi adalah untuk membantu kanak-kanak mengembalikan fungsi fizikal mereka ke tahap maksima. Oleh sebab itu, fisioterapi boleh membantu kanak-kanak autisme yang mempunyai keregangan otot rendah.


Program terapi akan memberi fokus untuk meningkatkan kemahiran motor kanak-kanak.


Sesi terapi mengandungi:

  • Penilaian awal untuk mengenalpasti keperluan anak

  • Program terapi memfokuskan dari segi pergerakan, kekuatan, ketahanan, fleksibiliti badan dan senaman regangan

  • Program latihan di rumah diberikan kepada ibu bapa atau ahli keluarga supaya mereka dapat meneruskan latihan atau senaman dengan anak di rumah.



 

Penilaian Fisioterapi


Penilaian fisioterapi termasuk:


  • Posisi badan

  • Pergerakan (berjalan, berlari)

  • Kesedaran tubuh

  • Koordinasi

  • Keseimbangan

  • Kemahiran bermain

  • Keupayaan untuk bertukar antara aktiviti

  • Cara melompat, mengayuh basikal dan memanjat

  • Rutin harian di rumah, sekolah dan komuniti



 

Kesimpulan


Fisioterapi boleh membantu kanak-kanak autisme yang mempunyai masalah keregangan otot rendah.


Masalah keregangan otot ini berpunca daripada gangguan di laluan saraf dalam sistem saraf pusat yang bertanggungjawab untuk mengawal aktiviti otot.


Kanak-kanak autisme dengan keregangan otot rendah harus sentiasa mengamalkan gaya hidup yang aktif.


Walaupun otot menjadi semakin kuat selepas terapi, ibu bapa disarankan untuk menggalakkan anak mereka melakukan banyak aktiviti fizikal seperti menunggang basikal, berjoging, berenang atau mendaki bukit untuk mengekalkan kekuatan otot.



Tekan pautan di bawah untuk mengetahui lebih lanjut mengeani autisme:

Back to top

bottom of page