Bagaimana anda tahu bahawa masalah anak anda adalah disebabkan daripada informasi yang diterima oleh mata atau masalah pada pemprosesan informasi di otak?
Hanya dengan pemeriksaan fungsi mata yang lengkap dapat memastikan anak anda mempunyai masalah penglihatan atau masalah pemprosesan visual.
Optometris bukan sahaja menguji penglihatan 20/20, tetapi juga melakukan pemeriksaan sama ada mata berfungsi dengan baik untuk memberi tumpuan pada objek yang statik dan bergerak.
Sekiranya fungsi mata ini lemah, mata anak anda tidak akan menghantar informasi yang tepat ke otak.
Contoh Gejala Isu Masalah Penglihatan
Sekiranya mata anak anda tidak berfungsi dengan baik, berikut adalah beberapa gejala yang mungkin anda boleh perhatikan semasa mereka belajar:
Menggerakkan kepala semasa membaca atau menulis
Menutup sebelah mata semasa membaca atau menulis
Meninggalkan perkataan semasa membaca atau menulis
Mengadu mata letih/ kerap menggosok mata semasa membaca dan menulis sesuatu
Membaca dengan perlahan dan memerlukan lebih banyak usaha
Mengecilkan mata semasa menyalin perkataan daripada papan putih
Apa Itu Masalah Pemprosesan Visual?
Masalah pemprosesan visual merupakan masalah cara otak memproses maklumat penglihatan. Dalam masalah pemprosesan visual, keupayaan untuk memahami maklumat yang diambil melalui mata berkurangan daripada yang sepatutnya.
Kesukaran pemprosesan visual akan mempengaruhi bagaimana maklumat visual ditafsirkan atau diproses. Seseorang yang mempunyai masalah pemprosesan visual mungkin mempunyai penglihatan 20/20 tetapi mungkin mengalami kesukaran untuk membezakan latar depan dari latar belakang, bentuk, ukuran, dan kedudukan di ruang.
Lapan Jenis Masalah Pemprosesan Visual
Terdapat lapan jenis masalah pemprosesan visual. Seseorang individu boleh mengalami lebih daripada satu jenis masalah pemprosesan visual.
Isu Diskriminasi/ Membezakan Visual (Visual Discrimination Issues)
Isu Diskriminasi Gambar Visual (Visual Figure-Ground Discrimination Issues)
Isu Urutan Visual (Visual Sequencing Issues)
Isu Pemprosesan Motor Visual (Visual-Motor Processing Issues)
Isu Memori Visual Jangka Panjang Atau Pendek (Long- Or Short-Term Visual Memory Issues)
Isu Visual-Ruang (Visual-Spatial Issues)
Isu Penutupan Visual (Visual Closure Issues)
Isu Pembalikan Huruf Dan Simbol (Letter And Symbol Reversal Issues)
1. Isu Diskriminasi Visual (Visual Discrimination Issues)
Masalah melihat perbezaan antara huruf, bentuk, warna, corak atau objek yang serupa
2. Isu Diskriminasi Gambar Visual (Visual Figure-Ground Discrimination Issues)
Menghadapi kesukaran untuk membezakan bentuk atau huruf dari latar belakang
Contoh:
berasa sukar untuk mencari maklumat penting pada papan putih yang penuh dengan banyak maklumat lain
berasa sukar untuk mencari perkataan dalam kamus
kurang mahir menggunakan peta
3. Isu Urutan Visual (Visual Sequencing Issues)
Menghadapi kesukaran untuk melihat bentuk, huruf atau kata dalam susunan yang betul. Mungkin akan melangkau baris atau membaca baris yang sama berulang-ulang kali.
4. Isu Pemprosesan Motor Visual (Visual-Motor Processing Issues)
Menghadapi kesukaran untuk menggunakan informasi yang mereka lihat untuk berkoordinasi dengan cara mereka bergerak.
Dengan kata lain, kanak-kanak dengan isu pemprosesan motor visual akan berasa sukar untuk mengatur pergerakan tangan atau kaki (komponen motor) dengan apa yang dilihat (komponen visual).
Contohnya:
sukar untuk menulis dalam garisan
kerap terlanggar objek semasa berjalan
Ini mempengaruhi kemahiran motor kasar seperti menangkap atau menendang bola, permainan yang melibatkan koordinasi mata-tangan dan juga aktiviti motor halus seperti mengikat benang, melukis bentuk mengikut titik garisan, aktiviti membutang dan mewarna corak dalam garis.
5. Isu Memori Visual Jangka Panjang Atau Pendek (Long- Or Short-Term Visual Memory Issues)
Menghadapi kesukaran untuk mengingati bentuk, simbol, atau objek yang mereka lihat. Hal ini akan menyebabkan mereka mempunyai masalah dengan membaca dan mengeja.
6. Isu Visual-Ruang (Visual-Spatial Issues)
Menghadapi kesukaran untuk memahami di mana objek berada di ruang dan tidak pasti berapa dekat objek antara satu sama lain.
Mereka akan mempunyai masalah untuk menentukan arah seperti akan menterbalikkan huruf atau tidak dapat mengenalpasti huruf dan nombor yang mempunyai bentuk sama.
Hal ini akan memberi kesan kepada kemahiran membaca dan juga mempengaruhi prestasi dalam matematik.
7. Isu Penutupan Visual (Visual Closure Issues)
Menghadapi kesukaran untuk mengenalpasti objek apabila hanya sesetengah bahagian yang ditunjukkan.
Biasanya, sekira kanak-kanak tidak dapat melihat 100% objek tersebut, otak akan mengisi informasi yang hilang dengan menggunakan pengetahuan sebelumnya.
Namun, bagi kanak-kanak dengan kesukaran pemprosesan visual jenis ini, objek tersebut mungkin tidak dapat dikenalpasti serta menyebabkan kekeliruan dan masalah pemahaman.
Contohnya:
Tidak dapat mengenalpasti sepupu dalam gambar sekiranya sepupu tersebut tidak memakai cermin mata yang selalu dipakainya
Tidak dapat mengenali perkataan yang sudah dikenali sebelum ini sekiranya hilang satu huruf
8. Isu Pembalikan Huruf Dan Simbol (Letter And Symbol Reversal Issues)
Menukar nombor atau huruf ketika menulis, atau mungkin ternampak salah "b" untuk "d" atau "w" untuk "m" .
Mengapa Pemprosesan Visual Penting?
Kemahiran pemprosesan visual yang baik penting dalam kemahiran setiap hari seperti membaca, menulis, menyelesaikan teka-teki, memotong, melukis, menyelesaikan masalah matematik, memakai pakaian, mencari stoking di lantai bilik tidur serta banyak kemahiran lain.
Tanpa kemampuan untuk menyelesaikan tugas-tugas ini setiap hari, keyakinan diri kanak-kanak akan berkurangan dan ini akan mempengaruhi prestasi akademik dan aktiviti sukan.
Masalah Modulasi Deria Visual
Apabila deria visual tidak diproses atau dimodulasi, input sensori akan menghasilkan dua jenis tindak balas. Sensori kurang tindak balas
lambat bertindak balas kepada input deria visual
memerlukan lebih banyak input deria visual untuk memahami apa yang berlaku
aktif mencari lebih banyak input sensori visual kerana mereka rasa tidak mencukupi
Sensori terlebih tindak balas
Cepat bertindak balas kepada input deria visual
Memberi tindak balas yang melampau terhadap sedikit input deria visual
Otak mereka berasa deria visual tersebut itu menyakitkan atau tidak selesa
Tanda-Tanda Masalah Input Visual
1.Kurang sensitif (Sensori kurang tindak balas)
Sukar untuk membezakan benda, huruf dan gambar yang sama
Menghadapi masalah untuk mencari barang di antara barang-barang lain seperti pakaian di dalam laci dan barang di rak runcit
Sukar mengawal pergerakan mata untuk mengesan dan mengikuti objek yang bergerak
Kesukaran untuk menulis (orientasi huruf, jarak dan kedudukan setiap huruf)
Susah untuk melakukan aktiviti yang melibatkan rangsangan visual seperti Puzzle dan mencari objek di dalam gambar
Mempunyai masalah ketika membaca dan menyalin teks
Susah membezakan di antara kanan dan kiri
2. Hiper sensitif (Sensori terlebih tindak balas)
Sensitif terhadap cahaya terang; akan menutup mata atau menangis
Mengalami kesukaran untuk menumpukan perhatian pada tugas yang dilakukan untuk jangka masa yang panjang
Mudah terganggu oleh rangsangan visual lain di dalam bilik seperti pergerakan, mainan, tingkap, pintu dll.
Menghadapi kesukaran dalam bilik berwarna-warni yang terang
Menggosok mata, mata berair atau sakit kepala setelah membaca atau menonton TV
Suka bermain dalam gelap
*Aktiviti Untuk Menambahbaik Kemahiran Visual
Aktiviti ‘visual tracking’ (menggunakan objek yang bergerak seperti melontar dan menangkap bola)
Merangkak dan berguling (membantu dalam kawalan mata)
Permainan gambar tersembunyi dalam buku seperti "Where's Wally".
Aktiviti mencari kelainan dalam gambar
Aktiviti memadan dan menyusun objek
Lukisan gambar: Berlatih melengkapkan gambar yang dilukis sebahagian.
Latihan kerja titik-ke-titik (Dot-to-dot worksheets)
Bermain puzzle
Permainan memori seperti permainan kad memori
Aktiviti jenis pembinaan seperti Lego atau blok bangunan lain.
Kad bergambar (flash cards) dengan huruf yang betul. Meminta anak meniru huruf tersebut. (Untuk lebih seronok, boleh tulis di pasir atau dengan cat jari)
Teka-teki carian perkataan yang memerlukan anda mencari perkataan tertentu
Kenalpasti objek dengan sentuhan: Letakkan huruf plastik ke dalam beg, dan minta anak mengenal pasti huruf itu dengan "merasa".
Meniup buih dan pecahkan buih menggunakan satu jari
*Ini hanya contoh aktiviti yang boleh dilakukan. Sila rujuk kepada ahli terapi cara kerja untuk perancangan aktiviti yang lebih sesuai untuk membantu masalah anak anda.
Comments