top of page

Peranan Fisioterapi dalam Membantu Kanak-Kanak Dengan Autism Spectrum Disorder (ASD)

Gangguan spektrum autisme atau ASD merujuk kepada kumpulan gangguan perkembangan neurologi yang kompleks dan dicirikan oleh corak tingkah laku berulang dan kesukaran dalam interaksi dan komunikasi sosial. Anda boleh tekan pautan ini untuk maklumat lebih lanjut mengenai ASD.


Definisi ASD menumpukan perhatian dan fokus terhadap unsur sosial, komunikasi dan tingkah laku yang ada dalam gangguan ini tetapi tidak begitu mengambil kira tentang penglibatan fizikal. Bukan itu sahaja, kebiasaannya cadangan pertama yang diberikan kepada ibu bapa pada penilaian pertama dengan doktor atau pakar kanak-kanak ialah terapi pertuturan-bahasa, terapi tingkah laku dan/atau terapi cara kerja.


Tahukah anda, penyelidikan baru-baru ini telah menyatakan bahawa banyak kanak-kanak dengan autisme juga mempunyai masalah dalam kemahiran motor kasar, regangan otot, gaya berjalan dan perancangan motor. Tahap keterukan masalah ini adalah berbeza dalam setiap kanak-kanak dan masalah ini akan menjejaskan kualiti hidup mereka.