top of page
Writer's pictureLeong Mei Hong

Bagaimanakah Fisioterapi Dapat Membantu Bayi Pramatang?

Tempoh kehamilan biasa adalah selama 40 minggu. Bayi yang dilahirkan sebelum minggu ke-37 dikenali sebagai bayi pramatang.


Bayi pramatang yang dilahirkan sangat awal sering mengalami masalah kesihatan yang rumit. Biasanya, komplikasi pramatang berbeza pada setiap bayi pramatang. Semakin awal bayi anda dilahirkan, semakin tinggi risiko komplikasi.


Contohnya, bayi yang lahir pada usia 23 hingga 24 minggu mungkin dapat bertahan, tetapi akan mempunyai banyak masalah perubatan yang rumit.



Banyak bayi yang dilahirkan pramatang boleh mencapai perkembangan mengikut usia tetapi ada juga bayi yang mengalami kesukaran dengan perkembangan fizikal dan memerlukan intervensi awal fisioterapi.


Bayi yang lahir sebelum minggu ke-32 atau berat badan kurang daripada 2.5kg mungkin memerlukan bantuan pernafasan dan dijaga dalam unit rawatan intensif neonatal, neonatal intensive care unit (NICU).


Di sini, fisioterapi memainkan peranan penting untuk membantu bayi pramatang.

Fisioterapi harus dimulakan secepat mungkin selepas kelahiran dan bayi harus cukup sihat untuk melakukan terapi.

 

Cara Mengira Umur Bayi Pramatang Yang Diperbetulkan



Contohnya:


Sekiranya bayi anda dilahirkan pada usia kehamilan 32 minggu, dia berumur 8 minggu (2 bulan) lebih awal. Sekiranya dia sekarang berusia 4 bulan (16 minggu sejak lahir), umur yang diperbetulkan adalah 2 bulan.


Dalam kes ini, walaupun bayi anda berumur 4 bulan, sebenarnya dia hanya mempunyai kemahiran perkembangan bayi berusia 2 bulan. Ini adalah tidak realistik untuk mengharapkan bayi anda bermula untuk berguling di mana kemahiran ini berkembang pada bayi yang berumur sekitar 4 bulan.


Bayi anda mungkin baru mula mengangkat kepala dan ini normal bagi bayi berumur 2 bulan.


Kebanyakan pakar pediatrik (termasuk ahli fisioterapi) menggunakan umur bayi yang diperbetulkan ketika menilai pertumbuhan dan perkembangan anak sehingga mereka berumur 2 tahun.


 

Penilaian Fisioterapi


Ahli fisioterapi akan melakukan penilaian yang merangkumi sejarah kelahiran dan perkembangan. Bukan itu sahaja, ahli fisioterapi juga akan membuat pemerhatian dan penilaian terhadap:


  • Perkembangan motor kasar (tekan sini untuk ketahui lebih banyak)

  • Keregangan otot

  • Kekuatan otot

  • Perancangan motor

  • Kawalan postur

  • Corak pergerakan kepala, badan, lengan dan kaki

  • Fungsi neuromaskular

  • Ketahanan

  • Postur tubuh

  • Refleks

  • Bagaimana bayi berinteraksi dengan persekitaran

  • Keupayaan bayi untuk kekal tenang dan berwaspada


Ahli fisioterapi akan bekerjasama dengan ahli profesional yang lain untuk memberi bayi anda penjagaan yang sebaik mungkin. Mereka akan mengkaji penilaian profesional lain dan mengesyorkan lebih banyak penilaian daripada profesional lain sekiranya perlu.



 

Rawatan Fisioterapi


Selepas melakukan penilaian yang terperinci terhadap bayi anda, ahli fisioterapi dapat menentukan bahagian mana yang memerlukan bantuan mengikut kadar perkembangan mereka. Sesi terapi akan fokus pada bayi dan khusus untuk memenuhi keperluan bayi anda.


Di unit rawatan intensif neonatal (NICU), fisioterapi akan fokus pada:

  • Kedudukan bayi

  • Cara mengendali bayi

  • Penyusuan bayi

  • Postur tubuh bayi


Selepas bayi meninggalkan NICU, ahli fisioterapi boleh bekerjasama dengan anda untuk membantu dalam perkembangan bayi.


Secara umumnya, pelan rawatan fisioterapi untuk bayi pramatang termasuk:


  • Senaman kekuatan otot

  • Senaman regangan

  • Aktiviti seperti berguling, dudukdan merangkak

  • Kemahiran sosial

  • Nasihat untuk kedudukan bayi

  • Cadangan dan penggunaan peralatan pertolongan

  • Latihan pernafasan dan teknik pembuangan kahak



Rawatan fisioterapi termasuk:


1. Pendidikan dan cadangan kepada ibu bapa


Ahli fisioterapi akan memberi cadangan yang terbaik mengenai cara untuk meletakkan, memegang, dan membawa bayi anda. Mereka juga akan mengajar anda bagaimana meletakkan bayi dengan selamat semasa tidur dan semasa bermain.


Aktiviti bermain dalam posisi meniarap atau baring atas perut adalah posisi terbaik untuk membantu dalam perkembangan bayi pada tahun pertama dalam kehidupan mereka.


Ahli fisioterapi juga akan mencadangkan perubahan yang dapat anda lakukan di rumah untuk menggalakkan pergerakan, komunikasi, pendengaran, penglihatan, dan kemahiran bermain bayi anda.


Selain itu, ahli fisioterapi akan memberikan latihan dan pendidikan mengenai alat bantuan untuk kedudukan dan pergerakan. Latihan ini boleh diberikan kepada penjaga utama bayi dan ahli keluarga.



2. Membina kemahiran motor kasar


Sebilangan bayi yang dilahirkan terlalu awal mempunyai masalah dalam perkembangan. Ahli fisioterapi akan membantu bayi anda untuk belajar menguasai kemahiran seperti mengangkat kepala, bergulung, duduk, merangkak, menarik diri untuk berdiri, dan berjalan.



3. Meningkatkan kekuatan


Sesetengah bayi yang dilahirkan terlalu awal mungkin mengalami masalah keregangan otot (hipotonia /hipertonia). Tekan sini untuk ketahui lebih banyak megenai keregangan otot.


Ahli fisioterapi akan mengajar anda senaman dan aktiviti bermain yang anda boleh lakukan dengan bayi anda untuk meningkatkan kekuatan otot. Latihan ini penting untuk memastikan bayi anda dapat mengekalkan pergerakan yang kuat pada setiap sendi dan mempunyai kekuatan otot yang mencukupi untuk belajar berguling dan duduk.


Ahli fisioterapi akan memilih permainan dan aktiviti yang menyeronokkan tetapi juga dapat meningkatkan kekuatan otot di seluruh badan.



 

Manfaat Fisioterapi Untuk Bayi Pramatang


Antara manfaat fisioterapi untuk bayi pramatang termasuk :


  • Kekuatan otot lengan, kaki dan tubuh badan meningkat

  • Julat pergerakan pada sendi meningkat

  • Peningkatan keupayaan untuk duduk, merangkak atau berdiri

  • Peningkatan keupayaan untuk berinteraksi dengan orang lain semasa bermain

  • Postur dan posisi badan semasa berehat dan bermain bertambah baik

  • Pencegahan komplikasi sekunder


Tahap perkembangan bayi akan dipantau dan dinilai semula secara berkala untuk mengetahui peningkatan dalam tahap berfungsi dan kekuatan otot. Apabila bayi membesar, ahli fisioterapi akan membuat pelan intervensi rawatan baru yang bersesuaian dan mencabar untuk anak anda.



 


Kesimpulan


Intervensi awal fisioterapi boleh dilakukan di rumah. Penglibatan aktif ibu bapa atau penjaga dalam melakukan latihan intervensi di rumah akan mempercepatkan pencapaian perkembangan bayi. Tekan sini untuk ketahui lebih banyak mengenai Kepentingan Penglibatan Ibu Bapa/ Penjaga dan Ahli Keluarga dalam Terapi


Bayi pramatang yang menjalankan intervensi awal dalam fisioterapi akan mendapat manfaat dalam perkembangan fizikal di mana ini penting untuk membantu kanak-kanak berfungsi dengan lebih baik apabila mereka besar.


Mulakan intervensi awal sekiranya anda mendapati anak anda lewat dalam perkembangan.

Comments


Back to top

bottom of page