Osteoporosis: Kepentingan Kesihatan Tulang Di Kalangan Kanak-Kanak
Osteoporosis adalah penyakit di mana tulang menjadi lemah dan rapuh. Seseorang dengan osteoporosis lebih mudah mengalami patah tulang dengan hanya terlanggar objek, bersin, atau jatuh. Kesan daripada patah tulang boleh menyebabkan kesakitan, mengehadkan keupayaan untuk bergerak dan kualiti kehidupan akan menurun. Tiada penawar untuk penyakit ini.

Biasanya hanya individu yang berusia lebih tua akan mendapat penyakit osteoporosis. Oleh sebab itu, kebanyakan ibu bapa tidak meletakkan kesihatan tulang anak mereka sebagai perhatian utama.
Osteoporosis dikatakan sebagai penyakit kanak-kanak yang memberi kesan apabila tua. Hal ini kerana jisim tulang yang dicapai pada masa kanak-kanak dan remaja adalah penentu bagi kesihatan tulang untuk sepanjang hayat. Masa yang terbaik untuk membina kesihatan tulang yang sihat pada masa depan adalah ketika tulang masih berkembang.
Tulang akan berkembang dari segi kekuatan dan saiz pada masa kanak-kanak dan remaja, Dalam sepanjang hidup, jisim tulang kita akan hilang dan diganti sepanjang masa.
Pada masa kanak-kanak dan remaja, tulang akan terus berkembang dan jisim tulang akan meningkat tetapi apabila usia semakin meningkat, jisim tulang akan menurun kerana jumlah tulang yang hilang tidak dapat diganti sepenuhnya oleh tulang baru.