top of page

Autisme ke anak saya?: Tips untuk mengenalpasti dan langkah yang perlu diambil

Updated: 2 Mac

Blog saya kali ini merupakan perkongsian saya sebagai salah seorang Terapis Pertuturan-Bahasa dan juga Advanced Certified Autism Specialist.


Saya maklum yang ramai ibu bapa mengaitkan autisme atau autism spectrum disorder (ASD) dengan kanak-kanak yang lambat bercakap. Perkara ini tidak salah sepenuhnya kerana salah satu tanda kanak-kanak ASD adalah kelewatan dari segi bahasa dan pertuturan tetapi tidak semua kanak-kanak yang lewat bertutur adalah kanak-kanak ASD.

Apa itu ASD?

ASD merujuk kepada kondisi di mana individu-individu yang didiagnos menepati ciri-ciri yang digariskan di dalam Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, 5th Edition (DSM-5). Boleh rujuk blog saya sebelum ini yang bertajuk Fakta dan Perkara Asas yang Anda Perlu Tahu Mengenai 'Autism Spectrum Disorder' untuk mempelajari lebih lanjut mengenai ASD.


Fokus blog kali ini ialah untuk saya berkongsi tips untuk mengenalpasti dan langkah yang perlu diambil sekiranya anda merasakan yang anak anda menunjukkan ciri-ciri ASD.



Tips untuk mengenalpasti dan langkah yang perlu diambil

Perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah membawa anak anda untuk ujian pendengaran. Hal ini penting kerana kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran juga menunjukkan ciri-ciri ASD iaitu tidak berminat dengan komunikasi lisan atau interaksi sosial. Komponen pendengaran juga penting untuk perkembangan bahasa dan pertuturan. Kanak-kanak dengan ASD kebiasaannya mempunyai pendengaran yang normal walaupun mereka perlu dipanggil berulang kali untuk mendapatkan perhatian mereka.


Mengikut pengalaman saya, kanak-kanak yang didedahkan dengan penggunaan skrin atau gajet (TV, iPad, tab dan lain-lain) terlalu awal (kurang daripada 3 tahun) dan terlalu lama dalam satu hari (lebih 1 jam sehari) boleh menyebabkan kanak-kanak tersebut menunjukkan ciri-ciri ASD yang ketara. Hal tersebut kerana interaksi orang dewasa dan kanak-kanak sangat penting dalam perkembangan awal komunikasi dan bahasa. Jika kanak-kanak meluangkan masa terlalu lama di hadapan skrin, mereka terlepas waktu kritikal untuk belajar dan mencapai kemahiran yang sepatutnya. Skrin juga boleh menyebabkan ketagihan serta obsesi sehingga kanak-kanak tidak mempedulikan persekitarannya. Oleh sebab itu, apabila ibu bapa memanggil kanak-kanak ketika di hadapan skrin, kebanyakan mereka perlu dipanggil berulang kali. Sekiranya anda mendapati yang anak anda tidak berminat untuk berinteraksi dengan anda dan menunjukkan ciri-ciri ASD yang lain, anda sepatutnya terus menghentikan waktu skrin mereka (no TV, iPad, tab and etcetera) sekurang-kurangnya 1 bulan. Sekiranya anda nampak perubahan positif yang ketara seperti anak anda mula untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan anda, ini bermaksud yang anak anda berkemungkinan besar tidak berada dalam spektrum autisme/ ASD. Penilaian lanjut bersama pakar tetap diperlukan untuk memastikan yang perkembangan anak anda dalam julat perkembangan yang sepatutnya kerana ASD boleh menjejaskan aspek perkembangan kanak-kanak secara keseluruhan.


Tips seterusnya ialah anda perlu membina rutin yang konsisten dan positif buat anak anda. Kanak-kanak banyak belajar melalui pengulangan untuk mereka mendapatkan sesuatu kemahiran. Kebanyakan kanak-kanak yang tidak mempunyai rutin tetap seperti tidur lewat (selepas pukul 10 malam untuk kanak-kanak kurang daripada 7 tahun) akan lebih cenderung untuk mempunyai masalah kelewatan perkembangan dan tantrum. Oleh sebab itu, tetapkan jadual harian untuk anak anda supaya mereka dapat belajar dan mempunyai kemahiran yang setara dengan usia terutamanya jadual makan dan tidur. Anda boleh mempelbagaikan aktiviti dan melakukan aktiviti yang berbeza setiap hari untuk meningkatkan minat dan peluang untuk anak belajar sesuatu yang baru. Pemerhatian yang anda perlu lakukan di sini adalah adakah anak anda mempunyai masalah untuk mencuba perkara baru dan beralih daripada satu aktiviti ke aktiviti yang lain. Hal ini kerana kanak-kanak ASD sangat "rigid" atau tetap dengan jadual mereka. Kata kunci dalam tips ini adalah keseimbangan dalam rutin harian (konsisten, positif dan aktiviti pembelajaran yang pelbagai).


Selain itu, beri peluang untuk anak anda belajar sesuatu kemahiran. Ajar apa-apa kemahiran kepada anak anda sehingga mereka dapat lakukannya dengan sendiri. Membuat semua perkara untuk anak mengurangkan peluang mereka untuk belajar dan memperoleh sesuatu kemahiran baru. Kanak-kanak dengan ASD kebanyakannya mempunyai kesukaran dalam melakukan aktiviti harian (activities of daily living) seperti memakai pakaian dan membersihkan diri sendiri. Hal tersebut disebabkan banyak faktor dan salah satunya adalah kemahiran bahasa atau kekurangan pembendaharaan kata. Rangsangan bahasa yang terbaik adalah melalui aktiviti harian kerana banyak peluang dan pengulangan yang boleh berlaku.


Kesimpulan

Kita tidak seharusnya memukul rata yang semua kanak-kanak dengan kelewatan bahasa dan pertuturan adalah kanak-kanak dengan ASD.

Pengetahuan dan ilmu yang tepat perlu bersandarkan fakta dan bantuan daripada ahli profesional bertauliah. Tips yang dikongsikan dalam blog ini adalah langkah awal dan seperti saringan. Langkah susulan diperlukan sekiranya anda telah cuba untuk melakukan langkah-langkah awal yang dicadangkan maksimum 1 bulan tetapi tidak berjaya. Jangan menunggu terlalu lama kerana setiap masa sangat berharga dan penting dalam perkembangan kanak-kanak.


Back to top

bottom of page