Kepentingan Mengetahui Perkembangan Kanak-Kanak
Penulisan kali ini adalah perkongsian saya tentang ilmu dan perkara yang saya amalkan sepanjang saya bekerja dengan kanak-kanak. Pengetahuan tentang perkembangan kanak-kanak adalah ilmu yang penting untuk ibu bapa, penjaga dan mereka yang menguruskan kanak-kanak. Tanpa ilmu dan kefahaman, kita sebenarnya mengundang konflik dan masalah kepada diri sendiri terutamanya ketika berhadapan dengan kanak-kanak. Oleh kerana kurangnya pengetahuan berkaitan perkara ini, tidak hairanlah kenapa kebanyakan orang dewasa dibuli dan dimanipulasi oleh kanak-kanak.
Ramai ibu bapa yang kagum apabila anak mereka berkelakuan baik dan memberikan kerjasama di dalam sesi saya walaupun pada perjumpaan pertama. Tidak saya nafikan yang setiap reaksi kanak-kanak berbeza tetapi sekiranya kita betul-betul memahami emosi, perangai, tingkah laku dan keperluan kanak-kanak tersebut, kita dapat mentafsir dan mengenalpasti tahap kemahiran dan apa yang diperlukan oleh mereka.
Apakah itu perkembangan kanak-kanak?
Perkembangan kanak-kanak merujuk kepada urutan perubahan biologi (fizikal), psikologi (bahasa dan pemikiran) dan emosi yang berlaku pada manusia bermula daripada kelahiran sehingga mencecah usia remaja. Semasa proses ini, kanak-kanak berkembang daripada pergantungan kepada ibu bapa atau penjaga mereka kepada berdikari. Perkembangan kanak-kanak sangat dipengaruhi oleh faktor genetik (gen yang diturunkan dari ibu bapa mereka) dan peristiwa semasa kehidupan pranatal (sebelum kelahiran). Ia juga dipengaruhi oleh faktor persekitaran dan kemampuan belajar kanak-kanak.
Peringkat perkembangan kanak-kanak
Tiga (3) peringkat utama kehidupan termasuk peringkat awal kanak-kanak, peringkat pertengahan kanak-kanak dan peringkat remaja.
