Pernahkah anda terfikir bagaimana ahli profesional seperti doktor, ahli terapi dan guru-guru mengenalpasti tahap kemahiran terkini yang dimiliki oleh kanak-kanak? Adakah keputusan yang diperolehi dalam ujian yang dijalankan menggambarkan kemampuan keseluruhan kanak-kanak? Bagaimana pula kanak-kanak yang dilabel mempunyai masalah pembelajaran? Adakah mereka tidak mampu untuk belajar kerana ujian IQ (intelligence quotient) yang diperoleh oleh kanak-kanak tersebut lebih rendah dibandingkan dengan rakan sebaya?
Ujian IQ ini boleh dikatakan lebih tertumpu kepada pemikiran logik. Bagaimana pula dengan individu yang mempunyai otak yang kreatif dan artistik? Adakah kita akan mengatakan individu tersebut mempunyai masalah kerana mereka mendapat markah yang rendah?
Setiap penilaian atau ujian yang direka dalam dunia ini mempunyai kelemahan kerana manusia sendiri yang menciptanya.
Jika anda benar-benar mengamati ayat pertanyaan yang ditanyakan oleh saya sebentar tadi, anda pasti dapat mengagak yang ujian dan penilaian standard ini sebenarnya membandingkan satu individu dengan sekumpulan individu yang berkongsi sesuatu yang sama seperti umur, jantina atau kelas. Tujuan penilaian itu sendiri adalah lebih kepada untuk menempatkan individu dalam kumpulan yang bersesuaian supaya individu tersebut dapat memperoleh manfaat daripada penyertaan mereka dalam kelas contohnya dan memudahkan tenaga pengajar atau fasilitator menjalankan sesuatu aktiviti. Bayangkan sekiranya kemampuan kanak-kanak yang berada dalam satu kumpulan sangat berbeza? Pasti sekali, sesi pembelajaran menjadi huru-hara.
Secara amnya, setiap manusia mempunyai kepandaian dan kemampuan yang berbeza. Secara peribadi, saya percaya bahawa setiap individu mempunyai hak dan kemampuan untuk belajar.
Berbalik kepada persoalan berkaitan kanak-kanak yang dilabel mempunyai masalah pembelajaran, adakah mereka tidak mampu untuk belajar? Jawapannya adalah tidak. Dengan latihan dan pendedahan yang sewajarnya, mereka mampu untuk belajar dan mencapai beberapa set kemahiran.
Seperti yang dijelaskan dalam blog sebelum ini, otak memainkan peranan penting dalam pemprosesan, pemahaman dan pengeluaran bahasa. Untuk memahami dengan mendalam tentang topik yang dibincangkan dalam blog kali ini, terdapat beberapa istilah dan konsep yang perlu dijelaskan terlebih dahulu sebelum kita membincangkan tentang hubung kait di antara kemahiran kognitif dan perkembangan bahasa dan pertuturan.
Isi kandungan
Apakah perbezaan antara fungsi otak dan kemahiran/ fungsi kognitif?
Mengapakah kemahiran kognitif penting dalam perkembangan bahasa?
Apa yang perlu diperhatikan?
Implikasi diagnostik kelewatan kognitif
Apa yang anda boleh lakukan untuk membantu anak yang mempunyai kelewatan dari segi kognitif?
Apakah perbezaan antara fungsi otak dan kemahiran/ fungsi kognitif?
Fungsi otak
Fungsi otak adalah mengatur sebahagian besar fungsi tubuh dan minda kita. Ia merangkumi fungsi penting seperti pernafasan atau degupan jantung, hingga fungsi asas seperti tidur, makan atau naluri seksual dan juga fungsi kompleks seperti berfikir, mengingat, membuat alasan atau bercakap. Untuk melaksanakan tugas yang nampaknya sederhana, otak kita harus melakukan ribuan proses untuk memastikan kita menyelesaikan tugas dengan betul.
Seperti yang diterangkan dalam blog yang lepas, setiap kawasan dan bahagian otak mempunyai fungsi-fungsi yang tertentu. Misalnya, struktur yang terletak di bahagian belakang otak (i.e. medulla, pons, cerebellum) dan otak tengah memainkan peranan dalam fungsi asas badan yang penting.
Kemahiran kognitif
Fungsi kognitif adalah proses mental yang membolehkan kita menerima, memilih, menyimpan, mengubah, mengembangkan dan memulihkan maklumat yang telah kita terima dari rangsangan luar. Proses ini membolehkan kita memahami dan berhubung dengan dunia dengan lebih berkesan.
Fungsi tersebut termasuk kemahiran motor, fokus, tumpuan, ingatan (memori), pertimbangan, pembelajaran, kreativiti dan membuat keputusan (seperti yang ditunjukkan dalam rajah di atas).
Mengapakah kemahiran kognitif penting dalam perkembangan bahasa?
Perkembangan kognitif dan bahasa berkait rapat. Sehingga seorang kanak-kanak berusia lebih dari 3 tahun, adalah sukar untuk memisahkan kemahiran kognitif dari perkembangan bahasa terutamanya bahasa reseptif (pemahaman bahasa).
Bahasa reseptif juga dikenali sebagai pemahaman pendengaran, i.e. kata-kata yang didengari dan difahami oleh anak. Sekiranya seorang kanak-kanak tidak memahami bahasa yang didengarnya, dia mungkin kelihatan tidak mengendahkan apa yang orang lain katakan kepadanya dan tidak mengikut arahan.
Di sini hubung kaitnya:
Apabila seorang kanak-kanak mempunyai kelewatan dalam kemahiran kognitif, kemahiran bahasa reseptifnya juga akan tertunda. Apabila kemahiran bahasa reseptif kanak-kanak mempunyai kelewatan, kemahiran ekspresifnya juga akan lewat. Bahasa ekspresif bermaksud apa yang dikatakan oleh anak (sama ada melalui lisan atau dengan kaedah alternatif seperti menggunakan gerak isyarat, tanda, gambar atau alat peranti teknologi).
Adakah anda mengikuti baris terakhir?
Sekiranya kemahiran kognitif kanak-kanak tertangguh atau lewat, kemahiran bahasa reseptif dan ekspresifnya juga akan tertunda.
Faktor kelewatan kognitif, boleh menjadi "alasan" seorang kanak-kanak tidak bercakap.
Apa yang perlu diperhatikan?
Diagnosis atau peristiwa tertentu dalam kehidupan kanak-kanak mungkin meramalkan adanya kelewatan kognitif. Kelewatan kognitif boleh dikaitkan dengan beberapa keadaan termasuk:
Diagnosis genetik seperti sindrom Fragile X atau sindrom Down.
Komplikasi semasa kehamilan ibu dan semasa kelahiran termasuk kelahiran pramatang, jangkitan, trauma, dan keadaan perubatan seperti kehilangan oksigen semasa proses kelahiran bayi.
Keadaan persekitaran seperti pengabaian, isolasi (kekurangan rangsangan yang diberikan) atau kekurangan zat makanan.
Kadangkala penyebab kelewatan kognitif kanak-kanak adalah daripada pelbagai faktor, i.e. terdapat beberapa faktor penyumbang. Kadangkala juga, penyebab sebenarnya tidak diketahui.
Kemahiran kognitif merangkumi perkara seperti mencari item yang tersembunyi (keberadaan objek), memahami bagaimana objek berfungsi (sebab dan akibat atau cara mengendalikan mainan), menyelesaikan masalah (seperti bagaimana mendapatkan objek yang tidak dapat dijangkau atau memasukkan potongan puzzle ke dalam slot yang betul), meniru tindakan yang dilihat dan kata-kata yang didengarnya, dan kemahiran bahasa seperti menamakan objek dan mengikut arahan.
Kelewatan kognitif disyaki apabila seorang kanak-kanak tidak mencapai kadar perkembangan normal mengikut carta perkembangan dalam beberapa domain perkembangan. Sebagai contoh, kanak-kanak yang dulunya lewat berjalan, sekarang adalah seorang yang lambat bercakap dan setelah dibuat penilaian yang lebih teliti, dia juga mempunyai kelewatan dalam kemahiran sosial.
(Peringatan: Contoh atau perkara yang disebutkan sebentar tadi tidak selalu berlaku. Seorang kanak-kanak boleh berjalan lewat atau bercakap lewat dan masih mempunyai kemahiran kognitif yang normal).
Implikasi diagnostik kelewatan kognitif
Pada generasi sebelumnya, kelewatan kognitif kanak-kanak disebut sebagai "kecacatan mental" atau "kerosakan otak." Kini diagnosis seperti kecacatan intelektual atau kelewatan perkembangan global (yang merangkumi beberapa domain perkembangan yang lain) telah menggantikan istilah itu, tetapi maknanya tidak berubah.
Kanak-kanak yang mengalami kelewatan kognitif menghadapi kesukaran untuk belajar bahasa, masalah akademik dan selalu mencapai kemahiran menguruskan diri dan berdikari seperti potty training dan memakai baju sendiri lebih lewat jika dibandingkan dengan rakan sebaya.
Kelewatan kognitif bersifat kronik atau jangka panjang. Rawatan akan SELALU membantu, tetapi kanak-kanak tersebut mungkin tidak dapat mengejar atau memperoleh semua kemahiran seperti rakan sebayanya.
Apa yang anda boleh lakukan untuk membantu anak yang mempunyai kelewatan dari segi kognitif?
Saranan pertama dan paling penting yang saya buat kepada keluarga kanak-kanak dengan kelewatan kognitif adalah untuk terus mempunyai harapan bahawa anak ini akan dapat belajar! Kaedah keibubapaan dan pengajaran mesti disesuaikan mengikut keperluan dan gaya pembelajaran anak, percayalah yang anak anda akan menunjukkan kemajuan! Itulah pemikiran penting bagi ibu bapa (dan datuk nenek!) untuk menyesuaikan diri secepat mungkin.
Kedua, ketahuilah bahawa mengajar kemahiran baru akan memerlukan lebih banyak masa. Pengulangan dan peluang berulang untuk belajar konsep yang sama atau perkataan baru adalah strategi yang paling penting untuk kanak-kanak yang sangat kecil dengan kelewatan kognitif. Seperti yang saya selalu katakan kepada ibu bapa kanak-kanak yang pernah saya bekerjasama, "Mari kita berfikir untuk mengajar anak bercakap seperti maraton dan bukan larian pada jarak 50 meter. Langkah yang kita ambil harus stabil kerana kita berada dalam jangka masa panjang. Terapi pertuturan dan bahasa untuk kanak-kanak ini tidak akan berakhir dalam beberapa bulan atau bahkan melebihi satu atau dua tahun."
Ada kalanya ahli terapi mungkin enggan berkongsi maklumat yang jujur dan berterus terang dengan ibu bapa. Sejujurnya, hal ini memang menyakitkan dan mereka tidak mahu menghancurkan harapan sedia ada yang dimiliki oleh ibu bapa. Namun, dengan tidak berkongsi sepenuhnya masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak, saya berpendapat bahawa pada dasarnya terapis tersebut menyimpan maklumat. Saya secara peribadi tidak mahu menjadi profesional seperti itu (atau orang semacam itu).
Akhir sekali, saya ingin menekankan tentang kepentingan intervensi awal (sebaiknya intervensi tersebut dijalankan sebelum kanak-kanak yang mempunyai kelewatan perkembangan memasuki pra-sekolah). Saya percaya bahawa perkhidmatan intervensi awal yang khusus sangat penting. Tempoh ini adalah ketika kita dapat membuat perbezaan paling banyak dalam perkembangan kanak-kanak. Hal ini kerana kanak-kanak tersebut masih berada dalam umur kritikal, i.e. ketika otak kanak-kanak paling "bersedia" untuk berkembang.
Ibu bapa kepada kanak-kanak dengan kelewatan kognitif juga akan mendapat manfaat yang besar apabila ada ahli profesional atau pasukan profesional mengajar mereka cara untuk membantu dan memenuhi keperluan anak mereka sendiri di rumah sehingga intervensi BUKAN menjadi perkara sekali atau dua kali seminggu iaitu ketika anak menghadiri terapi atau pergi ke pra-sekolah. Dengan bekerjasama dengan ahli terapi dan guru yang mempunyai pengalaman menolong kanak-kanak lain dengan latar belakang yang serupa, anda akan dapat memperoleh keyakinan bahawa anda melakukan segala yang boleh untuk membantu.
Kesimpulannya, seorang kanak-kanak yang mengalami kelewatan kognitif akan menghadapi kesukaran memperoleh pelbagai kemahiran perkembangan termasuk belajar bagaimana bercakap, bagaimana memahami dan bagaimana memproses dan kemudian menggunakan maklumat tersebut. Cabarannya akan bertindih dengan domain perkembangan yang lain terutamanya akademik dan kemahiran menguruskan diri. Walaupun kelewatan itu mungkin jangka panjang, rawatan akan sangat membantu.
Sekiranya anda seorang ibu bapa, saya harap maklumat ini dapat membantu anda memahami apa yang mungkin berlaku kepada anak anda sendiri. Sekiranya anda seorang ahli terapi, inilah jenis maklumat yang mungkin tidak akan dikongsi oleh doktor dan profesional lain dengan ibu bapa kepada kanak-kanak dengan kelewatan bahasa yang berkaitan dengan kelewatan kognitif. Terpulang kepada kita untuk membantu keluarga memahami masalah yang dihadapi oleh anak secara mendalam dan memberikan harapan bahawa terapi bersama dengan komitmen ibu bapa yang konsisten, dapat membuat perbezaan yang besar dalam kehidupan kanak-kanak :)
Comments