Rangsangan Bahasa Melalui Rutin Harian: Kelebihannya dalam Perkembangan Bahasa dan Sosial Anak
Pembelajaran bahasa berlaku setiap hari dan setiap masa dalam semua keadaan. Rangsangan input bahasa perlu dilakukan secara berterusan di mana sahaja cth. di rumah, di kedai serbaneka, di dalam kereta, semasa bercuti bersama keluarga dan sebagainya.
Pembelajaran bahasa banyak berlaku apabila kanak-kanak terlibat dalam rutin harian seperti mandi, makan, menukar lampin, menaiki kereta dan perkara-perkara yang dilakukan oleh ibu bapa dengan anak setiap hari. Aktiviti harian ini sangat penting kerana ia dapat memberi peluang untuk pembelajaran dilakukan secara berulang dengan cara yang semula jadi, menyeronokkan tetapi tersusun.
Apa kanak-kanak belajar daripada rutin harian?
Cuba fikirkan semua perkara yang anda lakukan bersama anak setiap hari. Anda menukar pakaian dan memberi makan, memandikannya dan menolong mereka menggosok gigi. Dalam konteks rutin harian seperti itu, seorang anak kecil mula memahami dunianya. Ini melibatkan pemahaman:
Bagaimana dunia mereka disusun - misalnya, setelah bangun mereka menukar pakaian, menggosok gigi dan kemudian bersarapan.
Perkataan-perkataan yang berkaitan dengan setiap rutin.
Peranan sosial seperti bagaimana memulakan perbualan dan cara membalas atau memberi respon kepada pertanyaan yang ditanya dan sebagainya.
Cara untuk terlibat dalam perbualan (bahkan sebelum kanak-kanak dapat bercakap, mereka juga berkomunikasi dengan rakan perbualan menggunakan cara mereka).