top of page

Palsi Serebrum dan Terapi Pertuturan-Bahasa



Individu dengan CP mungkin juga mempunyai masalah lain seperti kesukaran bernafas, disfagia (masalah penelanan), masalah kognitif, kelewatan bahasa dan pertuturan dan lain-lain.


Bagaimana terapi pertuturan-bahasa membantu kanak-kanak dengan CP?


Perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak biasanya mengikut corak tertentu. Perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak dengan CP mungkin tidak berkembang seperti yang diramalkan. Oleh yang demikian, terapi pertuturan-bahasa diperlukan untuk membantu kanak-kanak tersebut. Masalah pertuturan merangkumi:


  • Masalah artikulasi - Kanak-kanak dengan CP mungkin mengalami kawalan motor-mulut yang lemah dan kelemahan otot di kepala, leher, muka dan tekak. Keadaan ini mengganggu kemampuan mereka untuk mengeluarkan suara, membentuk suku kata dan mengeluarkan perkataan. Masalah artikulasi menyukarkan orang lain memahami perkataan atau apa yang diucapkan oleh seseorang.


  • Gangguan kadar/ kelancaran pertuturan - Gangguan seperti gagap, pertuturan yang tidak lancar menghalang komunikasi dan mengecewakan individu yang mengalami masalah tersebut.


  • Masalah suara - Masalah sengau dan gangguan suara lain berlaku apabila individu dengan CP mempunyai nada, kelantangan dan kualiti suara yang tidak teratur. Keadaan ini menyukarkan mereka untuk berinteraksi dan juga boleh menyebabkan kesakitan atau ketidakselesaan semasa mereka bercakap.


  • Disartria - Individu dengan CP kadangkala mengalami gangguan pergerakan otot yang digunakan untuk menghasilkan pertuturan. Masalah tersebut merangkumi lidah, bibir dan peti suara. Beberapa tanda disartria termasuk:

Pertuturan yang sukar difahami (slurred/ mumbled speech)

Kadar pertuturan yang lambat

Pergerakan wajah yang terhad

Nada suara yang tidak normal atau bercakap secara berirama


  • Disfagia - Kesukaran menelan atau mencerna makanan dari mulut ke perut. Gejala disfagia termasuk:

Mengalami masalah menelan atau mencerna makanan

Air liur meleleh

Makanan yang ditelan keluar semula (regurgitation)

Pedih ulu hati yang kerap

Batuk dan rasa nak muntah (gagging)


  • Afasia - Merujuk kepada kerosakan pada bahagian otak yang mempengaruhi bahasa dan pertuturan. Afasia menyebabkan seseorang mempunyai masalah untuk bercakap, menulis, menghasilkan perkataan, dan mendengar. Gejala gangguan afasia termasuk:

Kesukaran bercakap

Kesukaran memahami komunikasi

Masalah membaca atau menulis

Menggunakan perkataan lain untuk perkataan yang dimaksudkan


Selain masalah menghasilkan bunyi, suku kata dan frasa, individu dengan CP mungkin menghadapi masalah bahasa, seperti:


  • Kesukaran reseptif (kefahaman bahasa) - Memproses dan memahami bahasa menjadi cabaran bagi beberapa individu dengan CP. Terapi pertuturan-bahasa dapat menguatkan kemahiran kognitif dan interpretatif yang diperlukan untuk menarik makna dari bahasa dan komunikasi.


  • Gangguan ekspresif (pengeluaran bahasa) - Kesukaran untuk menyatukan perkataan dan menyampaikan idea boleh mengganggu kemampuan beberapa individu dengan CP untuk berkomunikasi dengan berkesan. Gangguan ekspresi juga boleh mengakibatkan perbendaharaan kata yang terhad dan penggunaan bahasa yang tidak sesuai dalam persekitaran sosial.


  • Gangguan komunikasi-kognitif - Masalah bahasa yang dialami oleh kanak-kanak dengan CP mungkin merangkumi kesukaran dengan kemahiran komunikasi yang melibatkan, persepsi, ingatan, organisasi, penyelesaian masalah dan fungsi kognitif lain.

Faedah terapi pertuturan-bahasa

Terapi pertuturan-bahasa mempunyai manfaat yang meluas untuk individu dengan CP. Proses terapi bukan sahaja meningkatkan interaksi komunikasi tetapi juga dapat digunakan untuk memperkuatkan dan meningkatkan kawalan otot muka dan mulut.

Disfagia dan masalah makan secara oral (melalui mulut) mempengaruhi individu dengan CP dalam beberapa perkara. Perkara tersebut merangkumi masalah mengunyah, menelan, tersedak, batuk dan minum. Mengekalkan berat badan dan pemakanan yang sihat mungkin menjadi cabaran bagi kanak-kanak dengan CP termasuk masalah penghidratan dan persoalan mengenai perkembangan fizikal jangka panjang.


Terapi makan dan menelan, yang dilakukan oleh Terapis Pertuturan-Bahasa (SLP) terlatih, memastikan cabaran fizikal tidak mengganggu pengambilan nutrisi kanak-kanak.


Sebagai tambahan kepada keperluan pesakit, terapi pertuturan-bahasa melibatkan ibu bapa, ahli keluarga dan penjaga. Gejala CP tidak konsisten, jadi setiap keluarga menghadapi cabaran yang unik - SLP akan mencari input sebelum membuat rancangan rawatan. Terapi yang berjaya menyumbang kepada kemudahan penjagaan dan mengurangkan tekanan pada pengasuh.


Komunikasi adalah jambatan penting yang menghubungkan pesakit dan penjaga. Malangnya, kondisi CP yang dialami kadang-kadang mengganggu keupayaan kanak-kanak untuk memproses, memahami dan bertindak balas dengan cara konvensional. Terapi pertuturan-bahasa memperbaiki masalah komunikasi, membantu pesakit menyatakan keperluan mereka dengan lebih jelas dan mengurangkan tekanan yang dialami oleh ibu bapa, guru dan ahli keluarga.


Terapi pertuturan-bahasa menyokong perkembangan dalam aspek berikut:

  1. Menghasilkan bunyi, perkataan dan suku kata

  2. Nada suara (pitch)

  3. Mengawal kelantangan/ kekuatan suara

  4. Mendengar/ persepsi

  5. Artikulasi dan sebutan

  6. Perbendaharaan kata

  7. Pengertian dan kefahaman bahasa

  8. Kualiti suara

  9. Mengunyah dan menelan


Apabila kemahiran komunikasi meningkat, kanak-kanak dengan CP mendapat keyakinan dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti. Terapi berkesan menyokong perkembangan kognitif dan emosi, memperkukuhkan kemahiran sosial dan membantu kanak-kanak dengan CP berinteraksi dalam pelbagai persekitaran. Terapi pertuturan-bahasa boleh menyebabkan kemajuan dalam perkara berikut:

  • Keyakinan diri

  • Keinginan untuk berinteraksi secara sosial

  • Belajar dan berkomunikasi di sekolah

  • Menyatakan pemikiran dan idea

  • Berdikari

  • Menyelesaikan masalah

  • Kualiti hidup secara menyeluruh


Matlamat terapi pertuturan-bahasa

SLP adalah profesional kesihatan yang bertauliah yang mempunyai kelayakan khusus dalam bidang komunikasi termasuk perkembangan bahasa, komunikasi manusia dan gangguan yang berkaitan.


Sebelum mengesyorkan latihan terapi pertuturan-bahasa, SLP biasanya akan melakukan penilaian terhadap kemampuan dan mengenalpasti kesukaran yang dialami oleh setiap pesakit. Setelah itu, SLP akan berbincang dengan ibu bapa, ahli keluarga, penjaga atau guru berkaitan matlamat yang ingin dicapai dan merancang pelan rawatan yang bersesuaian. Tinjauan, ujian berkala dan maklum balas penting semasa intervensi dilakukan, untuk membolehkan SLP membuat penyesuaian daripada pelbagai teknik terapi mengikut keperluan pesakit.


Latihan terapi pertuturan-bahasa

Terapi pertuturan-bahasa menggunakan pelbagai kaedah untuk mengatasi masalah menelan, meningkatkan fungsi motor-pertuturan, meningkatkan kefahaman dan memudahkan komunikasi. Teknik disarankan mengikut keperluan unik setiap individu. Terapi boleh merangkumi:


  • Latihan menelan - Terapi menelan dan memberi makan dirancang untuk meningkatkan kawalan motor-pertuturan. SLP menggunakan pelbagai teknik untuk menelan, termasuk urutan muka serta senaman bibir, lidah dan rahang. Terapi menguatkan otot muka dan rahang yang digunakan untuk makan, minum dan menelan dan juga meningkatkan kemampuan persepsi.


  • Latihan rahang, bibir dan lidah - Kelemahan otot dan koordinasi mulut-motor yang lemah mengganggu komunikasi dan makan, menimbulkan masalah untuk bersosial dan makan bagi individu dengan CP. Latihan yang pelbagai dapat menguatkan otot bibir, rahang dan lidah. Lollipops dan tongue depressor digunakan untuk mewujudkan daya tahan, kekuatan dan kawalan otot mulut. Memakan makanan yang lebih kenyal juga disyorkan, untuk membina kekuatan dan melatih otot-otot wajah.


  • Terapi artikulasi - Menunjukkan teknik yang betul adalah sebahagian besar daripada terapi pertuturan jenis ini. Melalui latihan berulang, SLP menunjukkan bagaimana mulut dan lidah bekerjasama menghasilkan bunyi, suku kata dan perkataan. Cermin sering digunakan dalam terapi ini untuk membantu kanak-kanak belajar bagaimana pergerakan mulut untuk menghasilkan huruf-huruf tertentu.


  • Latihan meniup dan bernafas - Meniup wisel membantu melatih otot mulut untuk membentuk bentuk yang diperlukan untuk menghasilkan bunyi tertentu. Aktiviti meniup juga menguatkan otot perut dan membantu kanak-kanak CP mengawal pernafasan.


  • Menggunakan kad bergambar - Permainan yang menyeronokkan dan interaktif ini dapat membantu kanak-kanak dan ahli terapi memberi tumpuan kepada kesukaran bunyi pertuturan yang mungkin mereka hadapi. Menyediakan permainan menghiburkan dapat membantu kanak-kanak untuk terlibat dan bersemangat semasa belajar.


  • Komunikasi gantian dan bantuan (augmentative and alternative communication - AAC) - Sebahagian besar kanak-kanak dengan CP mempunyai kesukaran menghasilkan pertuturan yang jelas. Oleh itu, AAC digunakan bagi mempermudahkan proses komunikasi dan mengurangkan kekecewaan kanak-kanak dengan CP untuk menyampaikan keinginan, idea, perasaan dan hasrat mereka.


NOTA PENTING: Anda perlu mendapatkan penilaian dan nasihat daripada Terapis Pertuturan-Bahasa (SLP) yang bertauliah untuk memastikan keberkesanan teknik atau latihan terapi pertuturan-bahasa yang disarankan. Tidak semua teknik yang dijelaskan di atas perlu dilakukan kepada semua kanak-kanak dengan CP atau masalah bahasa dan pertuturan yang lain.

Back to top

bottom of page