top of page
Writer's pictureLeong Mei Hong

Fisioterapi Adalah Rawatan Yang Penting Untuk Kanak-Kanak Dengan Palsi Serebrum (Cerebral Palsy)

Palsi serebrum atau cerebral palsy (CP) adalah kondisi kecederaan otak yang mempengaruhi kemampuan seseorang untuk bergerak dan mengekalkan keseimbangan dan postur badan.


Anda boleh merujuk kepada blog sebelum ini untuk pengenalan terhadap palsi serebrum. (tekan sini)


Tujuan utama fisioterapi adalah untuk membantu kanak-kanak dengan palsi serebrum mencapai potensi maksimum mereka, meningkatkan tahap kecergasan dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka.



Selain itu, matlamat fisioterapi adalah untuk:


  • Mengalakkan pergerakan

  • Menguatkan otot

  • Mengelakkan otot daripada menjadi pendek dan semakin tegang

  • Melatih kemahiran motor kasar

  • Membantu dalam keseimbangan dan koordinasi

  • Meningkatkan fleksibiliti dan ketahanan

  • Menambahbaik postur dan gaya bergerak

  • Memberi nasihat dan cara mengunakan alat bantuan berjalan

  • Mencadangkan penggunaan orthosis atau splint


 

Proses Penilaian dan Intervensi


Intervensi fisioterapi berbeza untuk setiap kanak-kanak dengan palsi serebrum. Walaupun mereka mempunyai kondisi yang sama tetapi bahagian badan yang terjejas berbeza dan tahap keterukan mereka berlainan.


Dalam penilaian pertama, fisioterapis akan membuat penilaian terhadap masalah pergerakan kanak-kanak tersebut untuk membuat rancangan rawatan mengikut keperluan. Selepas itu, fisioterapis akan membuat pelan intervensi berdasarkan penilaian yang dibuat.


Fisioterapi akan menilai:


  • Kekuatan otot

  • Julat pergerakan

  • Fungsi sendi

  • Keregangan otot

  • Gaya pergerakkan

  • Postur badan


 

Rawatan Fisioterapi


Gejala yang paling biasa terdapat pada kanak-kanak dengan palsi serebrum adalah otot tegang.


Otot tegang akan mempengaruhi keupayaan otot untuk berfungsi seperti biasa. Otot yang tegang akan mengehadkan pergerakan di sendi dan menyebabkan sendi di tangan atau kaki susah untuk diluruskan. Hal ini akan menyebabkan pergerakan menjadi lebih susah.


Apabila seseorang mempunyai otot yang tegang, pergerakan yang biasa sukar dilakukan ialah meluruskan tangan, membuka jari tangan, meluruskan lutut dan pergerakan di buku lali.


Ketegangan di otot menyebabkan kanak-kanak tidak dapat bergerak dengan bebas. Bukan itu sahaja, otot yang jarang digunakan ini akan menjadi lemah. Otot yang lemah ini tidak mampu untuk melawan ketegangan di otot untuk menggerakkan tangan atau kaki.


Jadi sebelum anda menguatkan otot yang lemah, anda harus mengurangkan ketegangan otot tersebut. Hal ini kerana selepas otot tidak tegang, mereka akan lebih senang untuk menggerakkan sendi dan otot mereka.


Pergerakan akan menjadi semakin lancar dan aktiviti menguatkan otot akan lebih berkesan.

Aktiviti yang boleh dilakukan untuk mengurangkan ketegangan di otot:


1. Senaman regangan pasif


Senaman regangan pasif adalah aplikasi manual di mana terapis akan melakukan senaman regangan pada kanak-kanak.


2. Terapi Sejuk


Meletakkan ais atau pek sejuk pada otot tegang.


 

Selepas otot kurang tegang dan pergerakan di sendi bebas, aktiviti menguatkan otot boleh dilakukan.


Banyak aktiviti atau senaman yang dilakukan dapat membantu dalam menguatkan otot dan menambahbaik keseimbangan.


Contohnya senaman menggunakan bola gim. Anda boleh membaringkan anak pada bola dan menggerakkan bola ke arah depan, belakang, kiri dan kanan.


Kebiasaannya kanak-kanak takut jatuh dan mereka akan menggunakan otot mereka untuk mengekalkan posisi di atas bola semasa anda menggerakkan bola. Oleh sebab itu, otot mereka akan menjadi semakin kuat dan keseimbangan mereka akan bertambah baik.


Selain baring di atas bola, anak boleh duduk atas bola sendiri atau anda boleh duduk bersama anak dan menggerakkan bola.

 

Aktiviti atau Senaman yang dilakukan dalam Fisioterapi

Senaman menguatkan otot:


Senaman menguatkan otot penting untuk membantu kanak-kanak berjalan, membina postur yang baik, pergerakan peralihan dan keseimbangan.

Postur badan boleh diperbaiki melalui latihan seperti duduk, melutut dan berdiri. Pergerakan peralihan adalah keupayaan bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Pergerakan peralihan termasuk berguling, merangkak, berjalan dan bergerak dari kerusi ke lantai.

Penggunaan splint:


Splint digunakan sebagai alat bantu untuk menyokong sendi yang lemah, menggalakkan fungsi anggota yang terlibat, menguatkan pergerakan otot dan menambahbaik postur.

Kanak-kanak dengan palsi serebrum yang menggunakan splint boleh membantu dalam mengekalkan posisi sendi semasa rehat, membetulkan masalah fizikal yang menghalang kanak-kanak untuk bergerak dengan normal atau mencegah kecacatan. Splint yang kerap digunakan adalah splint tangan dan splint kaki.

Senaman Berfungsi (Functional Exercises)


Memberi latihan yang berkaitan dengan aktiviti kehidupan tertentu yang menggabungkan senaman keupayaan dan kekuatan aerobik dan anaerobik. Senaman berfungsi boleh meningkatkan kecergasan fizikal secara keseluruhan, intensiti aktiviti dan kualiti hidup.

Rangsangan Elektrik


Matlamat rangsangan elektrik adalah untuk meningkatkan kekuatan otot dan fungsi motor. Rangsangan elektrik boleh didapati daripada Transcutaneous Electrical Nerve Stimulation (TENS) yang mudah alih, tidak invasif dan boleh digunakan di rumah oleh ibu bapa atau penjaga.


Hidroterapi


Hidroterapi merupakan senaman yang dilakukan dalam air.

Otot perlu bekerja lebih keras untuk melawan rintangan yang diberikan oleh air. Oleh sebab itu, otot akan lebih cepat menjadi kuat dan fleksibiliti otot meningkat.

Keapungan air menghilangkan tekanan yang dilakukan oleh graviti pada otot. Jadi, risiko untuk mendapatkan kecederaan akan berkurangan jika dibandingkan dengan aktiviti di darat.

 

Kesimpulan


Fisioterapi merupakan rawatan yang penting untuk kanak-kanak dengan palsi serebrum. Aktiviti yang telah dijelaskan di atas adalah contoh senaman yang boleh diberikan kepada kanak-kanak dengan palsi serebrum. Sila dapatkan penilaian daripada fisioterapis untuk mendapatkan intervensi dan perancangan yang lebih spesifik dan sesuai mengikut perkembangan anak.

Comentarios


Back to top

bottom of page