top of page
Writer's pictureLeong Mei Hong

Bagaimana Saya Tahu Jika Anak Saya Memerlukan Fisioterapi?


Pertama sekali, apakah yang anda tahu mengenai fisioterapi? Kebanyakan orang tidak tahu apakah peranan fisioterapi dalam membantu kanak-kanak dalam perkembangan mereka. Semua yang anda perlu tahu tentang fisioterapi dan bagaimana ia dapat membantu anak anda akan diterangkan di sini.


Isi Kandungan

1. Apa itu Fisioterapi?

2. Mengapakah anak anda perlu berjumpa fisioterapi?

3. Pencapaian Perkembangan Motor Kasar

4. Penanda Risiko Pencapaian Perkembangan Motor Kasar




Ahli fisioterapi merupakan seorang profesional kesihatan yang merawat pelbagai penyakit yang berkaitan dengan otot, sendi dan saraf. Fisioterapi di Malaysia juga dikenali sebagai jurupulih perubatan anggota atau anggota pemulihan perubatan. Ahli fisioterapi kanak-kanak merupakan ahli profesional yang khusus yang berkerja dengan semua kanak-kanak dari lahir hingga remaja.


Ahli fisioterapi boleh membantu dalam rehabilitasi, perkembangan dan pemulihan dari segi pergerakan, fleksibiliti, kekuatan dan ketahanan badan. Program terapi akan memberi fokus untuk meningkatkan kemahiran atau skil pembelajaran kanak-kanak.


Sesi terapi mengandungi:

  • Penilaian awal untuk mengenalpasti keperluan anak

  • Program terapi yang akan fokus dari segi pergerakan, kekuatan, flexibiliti badan dan senaman perengangan

  • Program latihan di rumah diberikan kepada ibu bapa atau ahli keluarga supaya mereka dapat meneruskan latihan atau senaman dengan anak di rumah.

Matlamat fisioterapi adalah untuk membantu kanak-kanak mengembalikan fungsi fizikal mereka ke tahap maksima. Fisioterapi boleh memberi peluang kepada kanak-kanak kurang upaya untuk berdikari melalui sesi terapi yang intensif.

Fisioterapi kerap dilakukan bersama dengan terapi lain seperti terapi cara kerja atau terapi pertuturan. Sebagai contoh, jika anak anda tengah belajar menulis dan duduk menyandar di atas meja, ia merupakan tanda kelemahan pada otot perut- fisioterapi boleh membantu untuk menguatkan otot perut manakala terapi cara kerja akan mengajar menulis.




1. Kelewatan dalam perkembangan

Kanak-kanak menunjukkan kelewatan yang ketara dari segi kemahiran berguling, duduk, merangkak atau berjalan


2. Postur luar biasa

Cara anak berjalan tidak sama dengan kawan sebaya seperti tapak kaki selalu menghala ke dalam atau luar. Anak kerap duduk dalam posisi W


3. Sakit Berterusan

Anak mengalami sakit berterusan atau tegang di sendi


4. Kecederaan atau pembedahan terkini

Anak sedang pulih dari kecederaan atau pembedahan di mana pergerakan mereka menjadi kaku atau tidak lancar


5. Hypotonia

Kemampuan regangan otot yang rendah pada anak. Anak tidak berupaya mengangkat kepala sendiri apabila meniarap atau dalam posisi duduk


6. Hypertonia

Otot anak sangat tegang. Siku dan lutut sentiasa dalam posisi bengkok (sukar untuk lurus) Tapak kaki anak tidak boleh pijak sepenuhnya atas lantai


7. Keupayaan deria rasa yang berkurangan

Deria rasa anak berkurangan di tangan atau kaki



Antara kondisi dan masalah yang boleh dirawat dengan fisioterapi adalah:

  • Kelewatan Pencapaian Perkembangan Motor Kasar

  • Autism Spectrum Disorder

  • Global developmental delay

  • Cerebral Palsy

  • Down Syndrome

  • Spina Bifida

  • Kecederaan pada otak

  • Hypotonia/hypertonia

  • Muscular Dystrophy atau kondisi neuromuskular yang lain

  • Torticollis

  • Kondisi genetik



Kanak-kanak berkembang pada kelajuan yang berbeza. Perkembangan motor kasar kanak-kanak seperti duduk, merangkak, memanjat, berjalan dan melompat berlainan mengikut umur. Semua perkembangan ini dikategorikan mengikut umur untuk panduan ibu bapa.


Apakah itu kemahiran motor kasar?


Kemahiran motor kasar adalah kebolehan yang diperlukan untuk mengawal otot-otot besar di badan kita untuk menjalankan fungsi harian seperti berdiri dan berjalan, berlari dan melompat, naik dan turun tangga dan duduk tegak dekat meja. Selain itu, kemahiran koordinasi mata-tangan seperti membaling, menangkap, menendang bola, mengayuh basikal dan berenang juga termasuk dalam kemahiran motor kasar.


Matlamat utama perkembangan motor kasar adalah untuk memperoleh keupayaan untuk berdikari.

Mengapakah kemahiran motor kasar penting?


Untuk melakukan aktiviti keperluan harian

· Berjalan dan berlari

· Memanjat, melompat, memegang

· Kemahiran bersukan (membaling, menangkap dan menendang bola)

· Berenang dan berbasikal


Untuk perjagaan diri

· Memakai pakaian (apabila kita memakai seluar, kita perlu boleh berdiri dengan satu kaki untuk memasukkan satu kaki ke dalam seluar tanpa jatuh)

· Naik tangga untuk masuk ke dalam bilik atau kelas

· Memanjat katil atau turun dari katil


Bagaimanakah kemahiran motor kasar mempengaruhi kehidupan anak?


Kemahiran motor kasar boleh mempengaruhi aktiviti harian anak. Contohnya, dengan otot perut yang lemah, anak tidak boleh duduk dengan tegak ketika membuat kerja di atas meja. Ini akan menganggu kebolehan anak untuk menulis, melukis dan mewarna. Selain itu, anak juga tidak akan duduk lama di dalam kelas dan ini boleh memberi kesan negatif dalam proses pembelajaran mereka.


Bukan itu sahaja, tanpa kemahiran motor kasar yang mencukupi, anak senang tercedera semasa bermain dengan kawan-kawan. Mereka akan kerap jatuh apabila berjalan, berlari atau turun bukit di mana semua aktiviti tersebut memerlukan kekuatan otot-otot besar dan keseimbangan badan.


Selain itu, kemahiran motor kasar akan mempengaruhi stamina badan untuk menjalankan aktiviti di sekolah sepanjang hari (berjalan dari kelas ke kelas, berjalan dari meja ke meja dalam kelas, mengangkat buku, bermain di taman permainan dan duduk lama di kelas).

Anak akan menghadapi kesukaran untuk melakukan kerja-kerja harian seperti makan, menyimpan alat permainan dan ke tandas jika mereka tidak mempunyai kemahiran motor kasar yang mencukupi.

Pencapaian Perkembangan Motor Kasar Mengikut Umur

1 bulan

  • Dagu naik apabila meniarap

  • Pusing kepala apabila baring telentang

2 bulan

  • Dada naik apabila meniarap

  • Kepala tidak stabil apabila diletakkan di posisi duduk

3 bulan

  • Menolak naik dada dengan siku apabila meniarap

  • Berguling ke tepi

4 bulan

  • Boleh menyokong kepala sendiri semasa ditarik ke posisi duduk

  • Menolak naik dada dengan pergelangan tangan

  • Berguling dari depan ke belakang

5 bulan

  • Berguling dari belakang ke depan

  • Duduk dengan lengan menyokong badan

6 bulan

  • Duduk dengan tangan menyokong badan

  • Menekan pada satu tangan apabila meniarap

7 bulan

  • Melantun bila dipegang

  • Duduk tanpa sokongan

  • Meletakkan tangan ke tepi untuk mengimbangkan badan

8 bulan

  • Merangkak komando

  • Boleh ditarik ke posisi berduduk/berlutut

9 bulan

  • Berjalan dengan tangan dan kaki di mana punggung menghadap ke atas

  • Mula merangkak

  • Boleh ditarik ke posisi berdiri

10 bulan

  • Merangkak dengan lancar

  • Bergerak antara perabot dengan menggunakan kedua-dua tangan

  • Berdiri dengan satu tangan dipegang

  • Berjalan apabila dua tangan dipegang

11 bulan

  • Pusing badan ke posisi duduk

  • Bergerak antara perabot dengan menggunakan satu tangan

  • Berdiri untuk beberapa saat

  • Berjalan dengan satu tangan dipegang

12 bulan

  • Berdiri teguh dengan tangan dan kaki terbuka

  • Boleh berjalan sendiri

13 bulan

  • Berjalan dengan tangan dan kaki terbuka

14 bulan

  • Berdiri sendiri tanpa ditarik naik

  • Berjalan dengan lancar

15 bulan

  • Membongkok untuk mengutip mainan

  • Merangkak naik tangga

  • Berjalan sambil membawa mainan

  • Memanjat atas perabot

16 bulan

  • Berdiri atas satu kaki dengan sedikit sokongan

  • Berjalan terbalik

  • Menaik tangga dengan satu tangan memegang

18 bulan

  • Merangkak turun tangga

  • Berlari

  • Duduk di atas kerusi tanpa bantuan

  • Baling bola dalam posisi berdiri

20 bulan

  • Mencangkung semasa bermain

  • Mengangkat benda besar

  • Berjalan turun tangga dengan satu tangan memegang

22 bulan

  • Naik tangga dengan memegang tepi tangga, kedua-dua tapak kaki memijak setiap langkah yang diambil

  • Mengikut cara kita menyepak bola

24 bulan

  • Turun tangga dengan memegang tepi tangga, kedua-dua tapak kaki memijak setiap langkah yang diambil

  • Menyepak bola sendiri

  • Membaling bola

28 bulan

  • Melompat dari bawah dengan satu kaki di depan

  • Jalan menjenget

  • Jalan terbalik 10 langkah

30 bulan

  • Naik atas tangga (memegang tepi tangga) dengan kaki bergilir memijak setiap langkah

  • Melompat di tempat sama

  • Berdiri dengan dua kaki di atas papan goyangan

  • Berjalan dengan lancar di atas papan titian

  • 33 bulan

  • Berjalan dengan lengan berayun bertentangan dengan kaki

3 tahun

  • Berdiri atas satu kaki selama 3 saat

  • Naik atas tangga (tanpa memegang tepi tangga) dengan kaki bergilir memijak setiap langkah

  • Mengayuh basikal beroda tiga

  • Berjalan dari tumit kaki ke jari kaki

  • Menangkap bola dengan tangan yang tegang

4 tahun

  • Berdiri atas satu kaki selama 4 ke 8 saat

  • Melompat dengan satu kaki 2 ke 3 kali

  • Melompat sejauh 1 ke 2 kaki

  • Berlari laju

  • Membaling bola sejauh 10 kaki

  • Menangkap bola yang melantun

5 tahun

  • Turun tangga (memegang tepi tangga) dengan kaki bergilir memijak setiap langkah

  • Berdiri atas satu kaki lebih dari 8 saat

  • Melompat dengan satu kaki 15 kali

  • Melangkau

  • Berjalan terbalik dari tumit kaki ke jari kaki

  • Melompat arah terbalik




Di sini kita akan menunjukkan tanda-tanda amaran kelewatan pencapaian perkembangan motor kasar anak berdasarkan umur mereka. Sebaik sahaja sesuatu keadaan disyaki atau didiagnosis, langkah awal adalah sangat penting bagi mendapatkan intervensi. Ini kerana otak kanak-kanak masih berkembang. Jadi inilah masa yang paling sesuai untuk mengajar mereka kemahiran baru atau menukar tingkah laku yang tak baik.


Intervensi yang lewat dapat menghalang kanak-kanak dari mencapai keupayaan maksimum mereka kerana ruang untuk perkembangan dan perubahan menjadi semakin kurang.

Tanda-Tanda Amaran Kelewatan Pencapaian Perkembangan Motor Kasar Mengikut Umur


6 bulan

  • Tidak berguling

  • Kepala tidak naik ketika meniarap

9 bulan

  • Tidak dapat duduk tanpa sokongan

  • Tidak merangkak

  • Tidak meletakkan berat pada kaki ketika diangkat oleh orang dewasa

12 bulan

  • Tidak merangkak atau bergerak dengan mengheret punggung

  • Tidak berdiri apabila ditarik

  • Tidak berdiri dengan memegang perabot

18 bulan

  • Tidak mencuba untuk berjalan tanpa sokongan

  • Tidak dapat berdiri sendiri

2 tahun

  • Tidak dapat berlari

  • Tidak dapat menggunakan tangga

  • Tidak dapat membaling bola

3 tahun

  • Tidak dapat berlari tanpa jatuh

  • Tidak dapat naik atau turun tangga

  • Tidak dapat tending bola

  • Tidak dapat lompat dengan betul

4 tahun

  • Tidak dapat mengayuh basikal beroda tiga

  • Tidak dapat menangkap, membaling atau menendang bola

  • Tidak dapat berjalan, berlari, memanjat, melompat dan menggunakan tangga dengan berkeyakinan

5 tahun

  • Rasa kekok ketika berjalan, berlari dan naik tangga

  • Kemahiran membaling bola berbeza dengan kawan sebay

  • Tidak dapat melompat 5 kali untuk setiap kaki


Amaran Bahaya untuk Semua Umur

  • Tidak mencapai mana-mana pencapaian perkembangan mengikut umur

  • Kebimbangan ibu bapa yang kuat

  • Kelewatan dalam kemahiran motor kasar yang ketara

  • Terdapat berbezaan di antara belah kiri dan kanan badan dari segi kekuatan dan pergerakkan

  • Kemampuan regangan otot yang rendah pada anak (hypotonia) atau otot yang sangat tegang (hypertonia)

Sekiranya anda mempunyai kebimbangan mengenai anak anda atau anak anda menunjukkan tanda-tanda kelewatan perkembangan seperti yang ditunjukkan di atas, anda boleh menghubungi kami untuk berbincang dengan ahli professional.

Comments


Back to top

bottom of page