top of page

Terapi Pertuturan-Bahasa: Apakah Sebenarnya?

Masalah kelewatan perkembangan bahasa dan pertuturan menjadi antara topik hangat kebelakangan ini. Ini mungkin kerana peningkatan bilangan kanak-kanak yang lambat bercakap meningkat saban tahun. Faktor penyumbang kepada peningkatan tersebut masih menjadi tanda tanya. Malah, banyak pusat-pusat terapi kini dibuka dan pelbagai "pakar" berebut untuk mengulas tajuk tersebut.



Isi Kandungan

  1. Situasi di Malaysia

  2. Di manakah paksi permasalahan ini?

  3. Apakah yang Terapis Pertuturan-Bahasa boleh lakukan untuk

  4. membantu dan menyokong perkembangan anak anda?

  5. Perbezaan di antara bahasa dan pertuturan

  6. Pilihan lain untuk berkomunikasi


Situasi di Malaysia

Apa yang berlaku di Malaysia khususnya agak menyedihkan. Ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menawarkan perkhidmatan terapi tanpa mempunyai kelayakan sewajarnya. Perkara ini tidak adil bagi kanak-kanak serta ibu bapa yang mengambil inisiatif untuk menerima perkhidmatan tersebut. Selain itu, terdapat beberapa kes di mana kanak-kanak yang mempunyai kelewatan perkembangan atau bekeperluan khas didera dan menjadi trauma. Ada juga kes di mana ibu bapa berusaha untuk menghantar anak untuk membuat intervensi untuk satu jangka masa yang agak lama, tetapi tiada perubahan positif atau perubahan yang sangat minimum yang dapat dilihat pada anak.


Di manakah paksi permasalahan ini?

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kes kelewatan perkembangan bahasa dan pertuturan kebanyakannya berpunca dari kurangnya stimulasi dan rangsangan dari penjaga utama kanak-kanak. Penjaga utama kanak-kanak di sini bermaksud orang dewasa yang menghabiskan masa yang paling lama dengan kanak-kanak tersebut semasa mereka berjaga (waking time). Penjaga utama boleh jadi ibu atau bapa yang bekerja di rumah, pengasuh, guru taska, datuk atau nenek dan sebagainya. Kebanyakan kanak-kanak dibiarkan bermain sendiri, menonton TV atau diberi alatan gajet seperti iPad atau tab bagi mengisi masa mereka. Kurang peluang untuk mereka berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang sekeliling. Semuanya telah tersedia di depan mata. Mereka tidak perlu berusaha untuk menunjukkan niat atau kemahuan mereka, i.e. kurang peluang untuk berinteraksi dan berkomunikasi.


Memang benar yang ibu bapa digalakkan untuk meluangkan masa dan banyak bercakap dengan anak sejak lahir, tetapi tidak semua orang dilahirkan mempunyai bakat bermain dan berkomunikasi dengan kanak-kanak dan seterusnya menyokong perkembangan mereka. Bukan itu sahaja, faktor penyumbang kepada kelewatan bahasa dan pertuturan ini agak banyak. Jadi, anda boleh lihat pautan ini untuk mengetahui lebih lanjut:


Apakah yang Terapis Pertuturan-Bahasa boleh lakukan untuk

membantu dan menyokong perkembangan anak anda?


Kebanyakan orang menganggap Terapis Pertuturan-Bahasa atau Speech-Language Therapist (SLT) bersamaan dengan bercakap. Adakah anda tahu bahawa bercakap bukanlah satu target utama SLT? Bercakap hanyalah sebahagian kecil daripada kerja atau target SLT. SLT melihat skop yang lebih luas. Target utama SLT adalah bagaimana untuk memaksimakan komunikasi sedia ada serta meningkatkan kualiti hidup seseorang.


Bidang Sains Pertuturan atau Patologi Pertuturan-Bahasa merupakan gabungan bidang sains, perubatan, seni dan pendidikan. Oleh itu, SLT bekerja dengan pelbagai disiplin seperti Doktor Perubatan, Guru, Ahli Terapi Cara Kerja, Fisioterapis dan sebagainya. SLT secara khususnya mengendalikan gangguan atau masalah yang berkaitan komunikasi, bahasa (kefahaman, pengeluaran, naratif dan literasi), pertuturan (suara, sebutan dan kelancaran), makan dan menelan. Sekiranya anda atau mereka dalam jagaan anda mempunyai masalah dari segi yang tersebut di atas, anda digalakkan untuk berjumpa dengan SLT dan membuat penilaian.


Perbezaan di antara bahasa dan pertuturan

Sebelum kita mengupas dengan lebih lanjut, kita seharusnya tahu tentang istilah serta perbezaan di antara bahasa dan pertuturan kerana dua komponen ini adalah antara komponen penting dalam komunikasi. Sila rujuk rajah di bawah untuk mengetahui perbezaan di antara bahasa dan pertuturan:


Bahasa secara umumnya merujuk kepada kod yang dikongsi oleh manusia untuk berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain. Salah satu contoh atau jenis bahasa ialah matematik.


Pertuturan pula merujuk kepada satu mekanisme i.e. perbuatan menghasilkan bahasa. Mekanisme tersebut merupakan sesuatu yang kompleks kerana ia melibatkan sistem saraf, sistem pernafasan dan alat artikulasi yang bekerja secara serentak. Apabila sistem-sistem tersebut tidak berfungsi dan bekerja dengan cara sepatutnya, individu berkenaan akan mempunyai masalah pertuturan seperti gagap, apraksia atau disartria.


Sebenarnya, kebanyakan kanak-kanak yang lewat bercakap biasanya mempunyai masalah kelewatan dari segi kemahiran bahasa. Mereka biasanya mempunyai pembendaharaan kata (vocabularies) tidak mencukupi serta penguasaan konsep yang lemah jika dibandingkan dengan rakan sebaya. Selain itu, kemahiran asas sebelum menguasai kemahiran bahasa dan pertuturan seperti tumpuan, hubungan mata, meniru, padanan, mengambil gilir dan bermain juga lemah. Jika kemahiran asas tersebut tidak berkembang dengan baik, ia bukan sahaja memberi kesan kepada perkembangan bahasa dan pertuturan tetapi juga prestasi akademik anak anda pada masa depan.


Oleh sebab itu, penilaian awal sebelum anak memasuki alam persekolahan pra-sekolah (sebelum anak berumur 5 tahun) amat penting sekiranya perkembangan keseluruhan anak tidak mengikut julat perkembangan normal atau anak sangat ketinggalan jika dibandingkan dengan rakan sebaya. Hal ini kerana, jika anak sudah melepasi suatu peringkat usia, peluang untuk mereka berfungsi secara optimum akan berkurangan.

Pilihan lain untuk berkomunikasi

Bercakap bukanlah sesuatu perkara yang pasti tetapi berkomunikasi adalah hak semua makhluk. Ada individu atau kanak-kanak yang ditakdirkan tidak dapat berkomunikasi secara verbal atau bercakap seperti Stephen Hawking. Jadi, individu berkenaan akan dibantu dan dilatih oleh SLT untuk menggunakan peranti komunikasi atau alat komunikasi tambahan dan alternatif - Augmentative and Alternative Communication (AAC) seperti papan komunikasi, PECS, GOTALK dan sebagainya untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang sekeliling. Sila tonton video ini https://www.facebook.com/watch/live/?v=287807548960083&ref=watch_permalink



Perkara utama yang ditekankan pada setiap sesi penilaian atau terapi pertuturan-bahasa ialah tahap kemahiran komunikasi dan bahasa seseorang. Kemahiran komunikasi termasuk bagaimana kita mengikuti peraturan sosial seperti mengambil gilir dan mengekalkan hubungan mata dan tumpuan, bagaimana untuk bercakap dengan orang yang berbeza, atau jarak kita bercakap dengan seseorang (personal distance). Kemahiran komunikasi sosial ini biasanya dilihat sebagai satu cabaran bagi kanak-kanak autisme.


Keupayaan kemahiran bahasa akan menentukan peranti komunikasi yang akan digunakan oleh individu yang bukan verbal. Ini kerana kemahiran bahasa merujuk kepada seberapa baik seseorang itu memahami apa yang didengar atau dibaca dan bagaimana dia menggunakan perkataan untuk memberitahu orang lain apa yang difikirkan. Oleh sebab itu, pembendaharaan kata dan kefahaman individu tersebut akan dinilai oleh SLT untuk menentukan perisian yang bersesuai dengan tahap bahasa mereka.


Secara kesimpulannya, tugas SLT bukan sahaja terhad untuk memastikan seseorang kanak-kanak boleh bercakap tetapi lebih daripada itu. SLT juga membantu murid atau pelajar yang mempunyai masalah dalam pembelajaran mereka. Kebanyakan murid yang mempunyai masalah dari segi pembelajaran mempunyai sejarah kelewatan dari segi perkembangan bahasa dan pertuturan. Jadi, SLT akan membantu murid tersebut dengan membuat penilaian, mengenalpasti punca dan mencadangkan beberapa strategi yang dapat membantu murid tersebut untuk meningkatkan kemahiran mereka.


Selain itu, SLT bekerja rapat dengan keluarga atau guru kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Ini kerana individu-individu tersebut merupakan pelaksana sesi terapi di rumah, di sekolah atau di luar dari bilik terapi. Mereka juga merupakan individu-individu yang meluangkan masa lebih banyak dengan kanak-kanak tersebut. Tanpa kemahiran yang cukup untuk menyokong perkembangan kanak-kanak, kemajuan dan perubahan yang dilihat pada kanak-kanak yang mempunyai kelewatan tersebut akan memakan lebih masa.


Oleh itu, kami menyeru kepada ibu bapa yang membawa anak-anak ke sesi terapi menjadi lebih proaktif dan bertanya apa yang perlu dilakukan di rumah dan mencuba sebaik mungkin untuk membuat latihan dan mempraktikkan kemahiran yang diajar oleh Terapis semasa di dalam sesi.

Back to top

bottom of page