Otak adalah organ seberat tiga paun yang mengagumkan. Ia mengawal semua fungsi tubuh badan. Kecerdasan, kreativiti, emosi dan ingatan adalah beberapa perkara yang diaturkan oleh otak.
Epilepsi

Epilepsi merujuk kepada keadaan berlakunya cetusan aktiviti elektrik yang mendadak di dalam otak. Ia juga merujuk kepada masalah gangguan fungsi otak pada sel saraf atau sel neuron yang menyebabkan otak tidak berfungsi dengan baik.
Seseorang hanya boleh dikatakan mengalami epilepsi sekiranya dia mengalami sekurang-kurangnya dua kali episod sawan. Bukan semua sawan adalah epilepsi. Sawan yang disebabkan rangsangan lain seperti demam panas, kurang gula dalam darah dan kuman di dalam otak tidak diklasifikasikan sebagai epilepsi.
Epilepsi boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu sawan menyeluruh dan sawan separa. Sawan menyeluruh disebabkan oleh gangguan sel saraf yang biasanya membabitkan keseluruhan otak. Manakala sawan separa pula bermula di satu bahagian tertentu di dalam otak.
Tiada had umur khusus bagi penghidap epilepsi dan serangan boleh terjadi kepada bayi seawal kelahiran. Pesakit yang mempunyai episod epilepsi lebih sekali atau mempunyai keputusan EEG/ MRI/ CT yang tidak normal akan diberikan ubat antiepilepsi mengikut kesesuaian dan keadaan epilepsi yang dihidapi oleh pesakit.
Namun begitu, ada sesetengah keadaan epilepsi sukar dirawat menggunakan ubat- ubatan oleh kerana pesakit mempunyai struktur tidak normal di dalam otak. Jika keadaan sedemikian dikesan, satu pembedahan akan dilakukan bertujuan untuk membuang bahagian yang merangsang sawan yang tidak terkawal.
Rujukan: Nasuha Badrul Huzaini (2015, 23 Mei). Gangguan otak punca epilepsi. BH Online.
Kesan Epilepsi terhadap Perkembangan Bahasa dan Kemahiran Kognitif Kanak-Kanak
Epilepsi menyebabkan fungsi otak terganggu. Beberapa kajian menunjukkan bahawa epilepsi boleh mempengaruhi perkembangan bahasa dan kemahiran kognitif seperti tumpuan dan ingatan (memori).
Cetusan aktiviti elektrik yang tidak normal di dalam otak boleh mengganggu hubungan antara neuron. Gangguan seperti itu mungkin menyukarkan individu untuk memproses maklumat dan ingatan. Gangguan berkala dapat menghentikan pembentukan hubungan neuron yang baru, menjadikannya sukar atau mustahil bagi seseorang yang mengalami serangan sawan secara berulang untuk memperoleh kemahiran atau pengetahuan baru.
Sejauh mana serangan sawan mempengaruhi pembelajaran atau bahasa bergantung pada kekerapan sawan, lokasi aktiviti sawan di dalam otak dan seberapa banyak bahagian otak yang terlibat. Sebagai contoh, sawan separa yang jarang berlaku dan berlaku di kawasan kecil otak yang bertanggungjawab untuk pengendalian motor tangan atau lengan mungkin mempunyai kesan langsung yang sedikit pada kemampuan kanak-kanak untuk belajar. Sebaliknya, sawan menyeluruh yang kerap berlaku yang melibatkan bahagian otak yang besar mungkin mempunyai kesan yang mendalam terhadap pembelajaran dan bahkan boleh mempengaruhi kecerdasan (intelligence)/ kemahiran kognitif keseluruhan kanak-kanak.
Umur permulaan apabila sawan berlaku, diagnosis awal dan kejayaan rawatan sawan juga dapat mempengaruhi potensi pembelajaran kanak-kanak. Otak mempunyai keupayaan yang luar biasa untuk membuat hubungan baru dan mempelajari semula maklumat atau tingkah laku yang hilang akibat sawan atau kerosakan lain di dalam otak. Kapasiti ini dipanggil 'brain plasticity'. Dalam beberapa kes, fungsi yang dikendalikan oleh satu hemisfera atau sebelah otak, dipindahkan ke hemisfera yang berlawanan. Namun, proses pembelajaran semula ini memerlukan masa dan keupayaan otak untuk membuat hubungan baru semakin berkurang seiring bertambahnya usia. Inilah sebabnya mengapa diagnosis dan intervensi awal penting bukan hanya untuk kejayaan rawatan sawan tetapi juga kemampuan kanak-kanak untuk memenuhi potensi pembelajaran mereka.
Kesimpulan
Bagi individu yang menghidap epilepsi, rawatan perubatan merupakan rawatan utama bagi mengawal dan mencegah serangan sawan daripada terus berlaku. Proses terapi atau rehabilitasi akan menjadi sukar apabila epilepsi menjadi tidak terkawal. Serangan sawan yang berlaku secara berterusan boleh menyebabkan bahagian otak menjadi rosak dan tidak berfungsi dengan baik.
Ada sebahagian kanak-kanak yang mengikuti terapi dan menunjukkan perkembangan positif menjadi teruk apabila serangan sawan sering berlaku tanpa kawalan.
Oleh hal yang demikian, ibu bapa kepada anak yang mempunyai epilepsi (kondisi yang sering dilihat pada kanak-kanak dengan Palsi Serebrum) dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dan pemantauan perubatan yang berterusan.
Comments