top of page
Writer's pictureRealisation Outreach

Cara Terbaik Membantu Anak Anda Menguasai Kemahiran Menulis


Walaupun kita sekarang berada dalam era teknologi di mana semua orang menulis menggunakan komputer atau telefon pintar, tetapi kemahiran menulis tetap sangat penting untuk kanak-kanak. Ini kerana proses pembelajaran di sekolah mementingkan kemahiran menulis.


Tanpa kemahiran menulis yang bagus, kanak-kanak tersebut akan menghadapi masalah untuk membuat kerja sekolah dan memberi tumpuan dalam pembelajaran. Apabila tulisan mereka tidak kemas atau mereka menulis dengan perlahan, mereka akan sering digelar malas oleh guru dan rakan -rakan. Hal ini boleh menjejaskan keyakinan diri dan tingkah laku mereka.


Jadi, bagaimanakah anda boleh membantu anak anda supaya situasi di atas tidak akan terjadi kepada anak anda?

Banyak perkara yang boleh mempengaruhi cara anak anda menulis. Di sini kami akan membincangkan tentang:

1. Keperluan Asas Untuk Membina Kemahiran Menulis

  • a. Kestabilan postur

  • b. Kekuatan tangan dan jari

  • c. Persepsi visual

  • d. Koordinasi dua hala


2. Perkembangan Genggaman, Fungsi Tangan dan Kemahiran Melukis


3. Tangan Dominan


4. Persediaan Untuk Menulis

  • a. Posisi kertas

  • b. Posisi tangan

  • c. Pra bentuk tulisan


 

1. Keperluan Asas Untuk Membina Kemahiran Menulis


Jika salah satu keperluan asas ini tidak stabil, kanak-kanak akan menghadapi masalah untuk menulis. Jika anda dapat kenalpasti keperluan asas yang manakah anak anda mempunyai masalah, anda boleh fokus dan menyediakan aktiviti mengikut keperluan mereka.


a. Kestabilan Postur

Untuk menulis, kestabilan posisi badan adalah sangat penting. Otot di bahu dan perut haruslah cukup kuat untuk menstabilkan badan dan tangan ketika menulis. Kalau otot besar di badan lemah, ini bermaksud otot di tangan dan jari juga lemah.

Kita tidak boleh kuatkan otot kecil di tangan dan jari sekiranya otot besar di badan lemah.

Contohnya, sekiranya anak anda mempunyai kestabilan postur yang lemah, mereka akan menekan pensil terlalu kuat ketika menulis kerana mereka tidak dapat mengawal kekuatan yang harus diletakkan ketika menulis. Bahu mereka akan tegang ketika menulis. Ketika kita menulis, kita sepatutnya menggunakan tenaga dari pergelangan tangan dan jari dan bukannya bahu.


Aktiviti yang boleh dilakukan


Aktiviti yang boleh menguatkan otot besar tangan dan perut

  • Berenang

  • Aktiviti memanjat

  • Merangkak komando

  • Berdiri atas buai dan berayun

  • Senaman menggunakan monkey bar

  • Aktiviti Wheelbarrow walking

b. Kekuatan Tangan dan Jari

Sekiranya kita sudah kuatkan otot yang besar di badan, tiba masanya untuk kuatkan otot-otot kecil di tangan dan jari. Tangan dan jari tidak kuat akan memberi kesan kepada cara anak memegang pensil, tulisan mereka dan kepantasan mereka menulis.


Contohnya, mereka akan menulis atau melukis dengan tekanan yang kurang kerana jari mereka yang lemah tidak dapat menekan dengan kuat. Bukan itu sahaja, mereka akan menulis dengan perlahan dan lambat kerana jari atau tangan mereka cepat penat.


Aktiviti yang boleh dilakukan:

  • Menggunting

  • Memain lego

  • Memain plastisin

  • Memerah dan meramas span

  • Memicit bola atau belon

  • Memain pengepit baju

  • Memain tarik tali menggunakan tuala dalam posisi duduk

c. Persepsi Visual


Kemahiran persepsi visual ini sangat penting dalam mempengaruhi keupayaan kanak-kanak untuk menulis dan menyalin huruf.

Secara ringkasnya, persepsi visual adalah kemahiran otak untuk memproses maklumat melalui penglihatan dan memberi arahan kepada anggota badan untuk bertindak balas dengan betul.


Contoh masalah persepsi visual:

  • Mempunyai masalah membezakan kiri, kanan, atas, bawah, depan dan belakang

  • Tidak boleh mengecam persamaan dan perbezaan antara bentuk, saiz, warna dan objek

  • Tidak boleh mengingati apa yang dilihat

  • Keliru dengan huruf b dan d, atau 2 dan z

Aktiviti yang boleh dilakukan:


  • Menyusun blok mengikut warna

  • Memadankan gambar yang sama

  • Mencari perbezaan dalam gambar

  • Melukis bentuk mengikut susunan

  • Bermain kad memori

d. Koordinasi Dua Hala


Koordinasi dua hala bermaksud keupayaan mengkoordinasikan kedua-dua belah badan pada masa yang sama dengan cara yang terkawal dan sistematik.


Contohnya, semasa kita menulis, satu tangan akan menstabilkan kertas manakala satu tangan lagi akan menulis.


Koordinasi dua hala yang bagus menunjukkan bahawa kedua-dua belah otak berkomunikasi dengan efektif dan berkongsi maklumat. Banyak perkara yang kita buat setiap hari juga memerlukan koordinasi dua hala seperti melukis, menulis, berjalan dan memakai baju.


Aktiviti yang boleh dilakukan:

  • Mengoyak kertas tisu

  • Bermain bola (tangkap dan baling)

  • Bermain plastisin

  • Menarik tali, berjalan atas tali, lompat tali

  • Meletakkan manik pada tali

  • Menggunting

  • Mengayuh basikal

  • Memanjat tangga

  • Memotong makanan dengan pisau dan garfu


 

Perkembangan Genggaman, Fungsi Tangan dan Kemahiran Melukis


12 bulan – 2 tahun

  • Boleh melepaskan objek kecil dari tangan

  • Pensil digenggam dengan tapak tangan ( genggaman Dagger)

  • Pergerakkan pensil adalah dari bahu

  • Menconteng tanpa tujuan

  • Meniru lukisan garisan menegak

2 tahun – 3 tahun

  • Pensil digenggam melalui semua jari dengan tapak tangan menghala ke bawah ( genggaman Pronate)

  • Meniru lukisan bulatan

  • Melukis garisan mendatar dan garisan menegak

  • Melukis lebih daripada dua garisan apabila cuba untuk meniru lukisan pangkah

3 tahun – 4 tahun

  • Semua jari memegang pensil bertentangan dengan ibu jari (genggaman Quadropod)

  • Pergerakkan berlaku di pergelangan tangan, tangan bergerak sebagai satu unit di mana jari adalah statik (genggaman Static Tripod)

  • Melukis bulatan

  • Meniru lukisan pangkah mendatar

  • Meniru garisan zig zag

  • Menyambung dua titik

  • Menjejak bentuk berlian (berpenjuru bulat)

  • Melukis satu orang dengan satu kepala dan satu lagi bahagian badan lain (tangan, kaki)

4 tahun – 6 tahun

  • Mempunyai keupayaan untuk memanipulasi objek di antara jari dan tapak tangan dan memusing objek menggunakan jari

  • Menggunakan genggaman Static Tripod secara konsisten

  • Ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah berkerja sebagai satu unit untuk mengawal pensil. Jari manis dan jari kecil berfungsi sebagai sokongan.

  • Melukis garisan diagonal, bentuk segi empat tepat, bulatan, segi tiga dan segi empat sama

  • Melukis satu orang dengan kepala, tangan dan kaki sekali

  • Mewarna gambar yang senang dengan tidak kemas

  • Melukis satu orang dengan kepala, badan, tangan, kaki dan muka sekali

  • Menyambung satu set titik untuk membentuk satu lukisan yang mudah


pencil grip
Genggaman Pensil

 

Tangan Dominan

Dominan biasanya menerangkan tentang satu belah badan yang kita biasa guna lebih banyak. Istilah ini boleh digunakan untuk mata, tangan dan kaki. Tangan dominan bermaksud satu tangan akan lebih banyak digunakan.


Kalau dapat menggunakan alat dengan tangan yang sama secara konsisten dan dengan cara yang tepat, ini bermakna dominan tangan telah ditentukan.

Sekiranya anak anda masih bertukar belah tangan ketika membuat kerja, ini akan mengganggu perkembangan kemahiran dan kecekapan mereka.


Hal ini kerana mereka tidak dapat membuat latihan yang mencukupi untuk memperoleh kemahiran dan ketahanan yang diperlukan. Mereka akan rasa susah untuk melaksanakan aktiviti seperti aktiviti motor halus, menulis dan menggunting dengan kemas.

Semakin banyak anak anda menggunakan tangan dominan, semakin cekap mereka melakukan kerja.

Tangan bukan dominan


Tangan bukan dominan ini juga memainkan peranan yang penting. Tangan bukan dominan membantu tangan dominan melaksanakan tugas dengan lebih cekap, kemas dan pantas.


Contohnya, tangan bukan dominan akan memegang kertas ketika tangan dominan sedang memegang guntuing dan menggunting.


Macam mana kalau anak saya tiada tangan dominan?


Kebiasaannya, di antara umur 2 – 4 tahun, kanak-kanak akan mula mempunyai pilihan tangan yang mereka suka guna. Kebanyakan kanak-kanak akan ada tangan dominan dalam sekitar umur 5-6 tahun (masa di tadika) untuk menulis dan menggunting.


Sekiranya anak anda tiada tangan dominan pada umur 5-6 tahun, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan ahli terapi cara kerja (occupational therapist atau biasanya dikenali sebagai OT)

 

Persediaan Untuk Menulis


a. Posisi kertas


Sebelum menulis, kita boleh posisikan kertas untuk memudahkan anak melihat apa kerja yang mereka tengah buat.


Untuk tangan dominan kiri, condongkan bahagian atas sudut kiri kertas manakala untuk tangan dominan kanan pulak condongkan bahagian atas sudut kanan kertas. Boleh rujuk gambar di bawah untuk lebih jelas.


Posisi Kertas semasa menulis

Posisi tangan


Galakkan anak anda meletakkan pergelangan tangan dominan di atas kertas yang tengah ditulis. Cara ini akan menstabilkan tangan dan jari pula akan lebih senang untuk mengawal pergerakan pensil.


Tangan bukan dominan berfungsi untuk menstabilkan kertas supaya kertas tidak mudah teralih ketika menulis.


Posisi tangan menulis

Pra bentuk tulisan

  1. Garisan mendatar (kiri-kanan)

  2. Garisan menegak (atas-bawah)

  3. Garisam zig zag

  4. Garisan berpusing (arah jam-lawan jam)

  5. Garisan naik dan turun

  6. Garisan turun dan ke bawah


sideway, tall line, zig-zag, circles, up and over, down and under
Pra bentuk tulisan
Jika anak anda menghadapi masalah menulis, sila berjumpa dengan ahli terapi cara kerja (occupational therapist atau biasanya dikenali sebagai OT)

Comments


Back to top

bottom of page