Apabila kanak-kanak telah sampai ke tahap umur tertentu (mencecah usia 4 tahun dan ke atas), mereka mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan formal di sekolah. Hak tersebut termaktub dalam Perlembagaan Pendidikan Malaysia di mana "setiap kanak-kanak berhak untuk ke sekolah".
Ibu bapa perlulah mengambil tahu tentang jenis sekolah dan perkhidmatan yang ditawarkan. Hal ini kerana ia dapat memudahkan untuk ibu bapa membuat pilihan tentang sekolah jenis apa yang bersesuaian dengan tahap dan perkembangan anak.
Apabila kanak-kanak mempunyai kelewatan dari segi perkembangan, perancangan yang teliti haruslah dilakukan termasuk membuat kajian tentang rawatan, bantuan dan sokongan yang boleh diperolehi serta perancangan pendidikan mereka.
Blog kali ini ditulis bertujuan untuk membantu ibu bapa membuat perancangan persekolahan anak terutamanya kanak-kanak yang telah disahkan mempunyai kelewatan dari segi perkembangan.
Tujuan menghantar anak ke sekolah
Saya ingin memulakan subtopik ini dengan persoalan 'apakah manfaat yang kanak-kanak akan dapat apabila mereka ke sekolah?'
Kali pertama kita diperkenalkan dengan pendidikan formal adalah di sekolah. Tahun persekolahan adalah tahun asas pendidikan seseorang. Sekolah adalah institusi yang meletakkan asas perkembangan kanak-kanak.
Sekolah juga memainkan peranan penting dalam mengembangkan kanak-kanak menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan manusia yang baik. Sekolah menjadi tempat di mana bakat muda diiktiraf dan dipupuk. Semasa meninggalkan sekolah, kita telah bersedia untuk memasuki dunia nyata dan mengejar impian kita.
Pendidikan memberikan kita pengetahuan tentang dunia. Ia juga membuka jalan untuk kerjaya yang baik dan membantu membina karakter dan perwatakan. Ia bukan sahaja membawa kepada pencerahan tetapi meletakkan asas negara yang lebih kuat.
Pendidikan melengkapkan seseorang individu. Pendidikan memperkayakan pemahaman seseorang. Pendidikan adalah pelaburan modal insan dan boleh memberi kesan besar kepada pertumbuhan dan pembangunan negara.
Jadi, mengapa kita menghantar anak ke sekolah?
A) Untuk mendapatkan pengetahuan
Pelaburan dalam pengetahuan memberi kepentingan terbaik.
Kesan langsung daripada pendidikan adalah peningkatan pengetahuan. Pendidikan memberi kita pengetahuan tentang dunia di sekitar kita. Ia mengembangkan perspektif kita dalam melihat kehidupan. Ini membantu kita membentuk pendapat dan mengembangkan sudut pandangan.
Maklumat tidak dapat diubah menjadi pengetahuan tanpa pemangkin (catalyst) yang disebut pendidikan.
Pendidikan menjadikan kita mampu mentafsirkan sesuatu dengan betul dan menerapkan maklumat yang dikumpulkan dalam senario kehidupan sebenar. Pendidikan tidak terhad kepada pelajaran dari buku teks. Pendidikan sebenar diperoleh daripada pelajaran yang diajar oleh kehidupan. Oleh itu, hantar anak anda ke sekolah.
B) Untuk membina perwatakan dan karakter
Perwatakan sebenar individu adalah yang paling menjadi dirinya.
Perkataan 'membudayakan' dan 'beradab' sinonim dengan 'mendidik' dan hal tersebut mengatakan semuanya. Pendidikan penting kerana ia mengajar kita tingkah laku dan akhlak yang baik sehingga menjadikan kita beradab. Ia adalah asas budaya dan peradaban. Ini berperanan dalam pengembangan nilai dan kebajikan kita.
Pendidikan membudayakan kita menjadi individu yang matang, i.e. individu yang mampu merancang masa depan dan mengambil keputusan yang tepat dalam hidup. Hal ini memberi kita gambaran tentang kehidupan dan mengajar kita untuk belajar daripada pengalaman. Ini menjadikan kita yakin diri dan mengembangkan kemampuan kita untuk berfikir, menganalisis dan menilai. Selain itu, ia juga memupuk prinsip persamaan dan sosialisme serta membentuk sistem sokongan untuk seseorang cemerlang dalam kehidupan. Pendidikan adalah tulang belakang masyarakat. Tidak salah untuk mengatakan bahawa pendidikan yang baik menjadikan kita lebih manusiawi.
C) Membawa kepada pencerahan
Pendidikan diibaratkan seperti nyalaan api. Pendidikan membuka jalan menuju kebenaran, i.e. menghapuskan kepercayaan yang salah dari fikiran kita dan membantu mewujudkan gambaran yang jelas mengenai perkara-perkara di sekitar kita dan menghapus semua kekeliruan.
Ia juga membangkitkan rasa ingin tahu dan membantu meningkatkan kebolehan untuk bertanya dan memberi penjelasan. Semakin banyak kita belajar, semakin banyak soalan yang kita ada, dan tanpa soalan, tidak ada jawapan. Pendidikan mengajar kita untuk mencari jawapan. Ini menjadikan kita lebih sedar diri dan membawa kita kepada pencerahan.
D) Untuk membantu anak-anak kita mengembangkan kemajuan kerjaya
"Seorang pakar adalah orang yang tahu lebih banyak tentang kekurangan atau apa yang kurang dalam sesuatu bidang." Pendidikan penting kerana melengkapkan kita dengan kepakaran yang diperlukan dalam membantu kita merealisasikan matlamat kerjaya kita.
Kepakaran adalah pengetahuan mendalam tentang bidang tertentu dan semestinya membuka pintu kepada peluang kerjaya dan memperoleh prospek pertumbuhan kerjaya yang lebih baik.
Pendidikan yang baik adalah kriteria kelayakan untuk bekerja di mana-mana sektor industri. Walau apa pun bidangnya, pendidikan selalu terbukti bermanfaat. Kita dipertimbangkan untuk masuk ke pasaran berdasarkan kemahiran serta latar belakang pendidikan kita dan sejauh mana kita dapat menerapkannya.
E) Untuk membantu kemajuan negara
Kemajuan sesebuah negara terletak kepada kemajuan dalam bidang pendidikan.
Fikiran manusia adalah sumber asas untuk memperkembangkan dan meningkatkan kemahiran sedia ada. Pendidikan diperlukan sebagai pemangkin kepada sumber asas tersebut.
Pendidikan adalah penting untuk kemajuan sesebuah negara dan pengayaan masyarakat secara umum. Penduduk atau masyarakat yang celik pengetahuan adalah aset kepada negara. Dalam dunia persaingan hari ini, tidak bijaksana mengabaikan pentingnya pendidikan untuk pembangunan masyarakat secara keseluruhan.
Cadangan Panduan Pemilihan Sekolah
1. Perlu ambil tahu jenis sekolah, syarat dan proses kemasukan serta perkhidmatan yang ditawarkan.
Rajah di bawah merupakan ringkasan tahap pendidikan di Malaysia.
Kanak-kanak memulakan sesi pra persekolahan seawal usia 4 tahun. Kebanyakan pra sekolah atau taman didikan/ bimbingan kanak-kanak (tadika/ tabika) swasta menawarkan perkhidmatan kepada kanak-kanak 4 tahun dan ke atas. Terdapat sebahagian besar Sekolah Kebangsaan telah mewujudkan kelas pra sekolah dengan memberi keutamaan kepada kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah. Lihat pautan ini untuk mengetahui lebih lanjut
Kebanyakan ibu bapa berpendapat bahawa apabila menghantar kanak-kanak yang mempunyai kelewatan perkembangan terutamanya dari segi bahasa dan pertuturan, kanak-kanak tersebut akan pulih dan selesai daripada masalah. Pendapat tersebut tidak selalunya tepat.
Mengikut pengalaman saya sebagai Terapis Pertuturan-Bahasa, persekitaran yang menyokong dan kondusif amat penting bagi perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak. Syarat utama yang saya tekankan kepada ibu bapa yang berhasrat untuk menghantar anak ke pra sekolah, mereka perlu menilai sendiri tahap kemahiran yang ada pada anak cth. kemahiran pengurusan diri dan kemahiran bahasa dan pertuturan. Perkara ini penting untuk memastikan yang kanak-kanak akan mendapat manfaat apabila dihantar ke pra sekolah dan boleh berkembang secara optimum.
Apabila kita tidak menilai tahap kemahiran anak, kita hanya sekadar mengandaikan atau menganggap yang anak kita sudah bersedia. Kanak-kanak yang mempunyai kelewatan perkembangan bermakna mereka tidak mempunyai kemahiran yang setara dengan rakan sebaya. Bayangkan senario yang bakal berlaku. Mereka akan ketinggalan dalam aktiviti dan pembelajaran, dan guru tidak dapat memberikan bantuan sewajarnya kerana mereka kurang kemahiran untuk membantu.
Kriteria penting untuk menentukan bahawa kanak-kanak telah bersedia untuk ke pra sekolah biasa adalah apabila mereka boleh mengikut arahan, memberikan tumpuan dan boleh duduk lebih daripada 20 minit untuk menyelesaikan satu tugasan. Walaupun mereka mungkin tidak boleh berkomunikasi secara lisan dan bercakap banyak seperti rakan yang lain, mereka akan mendapat manfaat dan mengejar tahap perkembangan yang sepatutnya.
2. Keputusan pemilihan sekolah yang dilakukan bukan atas kehendak kita sebagai ibu bapa tetapi manfaat ke atas anak
Kanak-kanak akan mula memasuki sekolah rendah setelah mereka mencapai umur 7 tahun (mengikut tahun kelahiran). Permohonan masuk sekolah perlu dilakukan setahun sebelum anak masuk ke sekolah (pada umur 6 tahun). Kriteria utama yang diambil kira untuk kanak-kanak masuk ke sekolah adalah kemahiran mereka menguruskan diri.
Terdapat lima (5) jenis program yang ditawarkan di peringkat sekolah:
Program perdana
Program inklusif
Program pendidikan khas integrasi (PPKI)
Sekolah pendidikan khas
Program vokasional
Tiga (3) program yang tersenarai di atas (rujuk juga gambar di bawah) ditawarkan di sebahagian besar Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan.
Sekolah pendidikan khas di Malaysia adalah sekolah yang dikhususkan hanya untuk kanak-kanak berkeperluan khas seperti sekolah kanak-kanak buta dan sekolah kanak-kanak pekak. Program vokasional pula ditawarkan di peringkat sekolah menengah.
Keputusan untuk memasuki program yang ada perlu mendapatkan penilaian daripada pakar perubatan dan ahli terapi. Mereka akan menilai kemahiran dan kemampuan anak yang terkini. Daripada penilaian yang dilakukan, mereka akan memberitahu program yang sesuai untuk tahap kemampuan anak kita. Sekiranya, kita tahu yang anak kita mempunyai kelewatan perkembangan, segeralah untuk mendapatkan bantuan atau intervensi awal.
Bagi kanak-kanak yang telah mendapatkan intervensi awal sebelum berumur 3 tahun, peluang untuk mereka memasuki program perdana atau inklusif adalah lebih tinggi berbanding kanak-kanak yang mendapatkan intervensi selepas umur 5 tahun.
Selain itu, kita juga mempunyai pilihan untuk menangguhkan anak ke tahun satu (1). Lihat pautan ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkara ini https://www.moe.gov.my/pendidikan/pendidikan-rendah/dasar-pengoperasian-pengecualian-daripada-mengikuti-pendidikan-wajib-penangguhan-ke-tahun-1
Kesimpulannya, pemilihan sekolah untuk kanak-kanak secara umumnya adalah suatu proses timbang tara. Pengumpulan maklumat dan cara kita untuk menganalisis setiap maklumat yang ada perlulah rasional dan bukan mengikut emosi atau kehendak kita. Apabila kita membuat keputusan untuk menghantar anak ke sekolah, kita perlulah membuat persiapan yang mencukupi dan mengambil tindakan sewajarnya, i.e. sekiranya kita mendapati yang anak kita mempunyai kelewatan perkembangan, kita tidak boleh berada dalam penafian terlalu lama.
Comments