top of page
Writer's pictureKhadijah Khalid

Sindrom Down dan Terapi Pertuturan-Bahasa

Sindrom Down merujuk kepada ciri-ciri fizikal, tingkah laku dan kelewatan perkembangan yang disebabkan oleh masalah genetik, i.e. individu yang didiagnos dengan sindrom Down mempunyai satu kromosom tambahan pada kromosom ke-21. Oleh sebab itu, semua kanak-kanak dengan sindrom Down mempunyai tahap ketidakupayaan belajar dan perkembangan kemahiran pada kadar yang lebih rendah atau lewat daripada kanak-kanak yang lain. Bahkan, perkembangan pertuturan dan bahasa dilihat sebagai satu cabaran bagi kebanyakan kanak-kanak dengan sindrom Down.



Isi kandungan

  1. Gejala masalah pertuturan dan bahasa yang dikaitkan dengan sindrom Down

  2. Profil pertuturan dan bahasa yang berkaitan dengan sindrom sindrom Down

  3. Penyebab (utama dan sekunder)

  4. Prinsip untuk intervensi yang berkesan


Gejala masalah pertuturan dan bahasa yang dikaitkan dengan sindrom Down


Kanak-kanak dengan sindrom Down biasanya mengalami masalah makan, menelan dan pertuturan kerana perbezaan anatomi dan fisiologi di kawasan mulut mereka. Perbezaan ini merangkumi lengkung yang tinggi pada lelangit, rahang atas yang kecil serta regangan otot rendah (low muscle tone) pada lidah dan otot mulut yang lemah.



Walaupun mempunyai perbezaan anatomi dan fisiologi dan menghadapi kesukaran dari segi makan dan pertuturan, kanak-kanak dengan sindrom Down adalah individu yang berminat untuk berkomunikasi (active communicator). Oleh hal yang demikian, mereka memerlukan sedikit dorongan dan latihan untuk membantu mereka berkomunikasi dan melakukannya dengan cara yang berkesan.


Terapi pertuturan dan bahasa disarankan untuk membantu memudahkan keinginan kanak-kanak sindrom Down untuk berkomunikasi dan boleh menjadi bentuk terapi yang bermanfaat.

Profil pertuturan dan bahasa yang berkaitan dengan sindrom Down

Data kajian Buckley dan Le Prèvost (2002) menunjukkan kanak-kanak dengan sindrom Down biasanya mempunyai profil perkembangan sosial, kognitif dan bahasa yang tidak sekata - mereka tidak mempunyai profil kelewatan yang sama di semua aspek/ domain perkembangan. Mereka mempunyai profil kekuatan dan kelemahan. Sebagai contoh, perkembangan sosial dan pemahaman sosial biasanya merupakan kekuatan mereka, sementara perkembangan dari segi pertuturan atau bahasa lisan adalah kelemahan mereka.


Kini terdapat bukti yang konsisten bahawa kanak-kanak sindrom Down ini mempunyai profil kelewatan bahasa dan pertuturan yang spesifik yang dikaitkan dengan usia mental bukan lisan (non-verbal mental age). Terdapat juga perbezaan individu dari segi kadar kemajuan tetapi profil keseluruhan jelas menunjukkan persamaan yang spesifik untuk semua kanak-kanak dengan sindrom Down.


Walaupun kemahiran pertuturan dan bahasa kanak-kanak dengan sindrom Down mempunyai kelewatan disebabkan kemampuan mental bukan lisan, aspek pertuturan, bahasa dan kemahiran komunikasi yang lain tidak mempunyai kelewatan yang sama. Kemahiran komunikasi adalah kekuatan mereka kerana mereka mempunyai kefahaman yang agak baik serta boleh menggunakan kemahiran komunikasi bukan lisan dan isyarat dengan baik.


Dari segi perkembangan bahasa, kanak-kanak sindrom Down menunjukkan perkembangan perbendaharaan atau kosa kata yang lewat semenjak dari bayi, di mana pemahaman bahasa melebihi pengeluaran bahasa. Apabila menjelang usia remaja, perbendaharaan atau kosa kata menjadi lebih baik dengan peningkatan usia tetapi mereka mempunyai kesulitan dari segi tatabahasa.


Perbezaan individu dapat dilihat dalam profil kanak-kanak sindrom Down. Beberapa orang daripada mereka mempunyai kesulitan pertuturan lebih banyak daripada yang lain, ada yang mempunyai kefahaman bahasa yang lebih baik dan ada juga yang mempunyai perbezaan yang besar dan ketara di antara kefahaman bahasa dan pengeluaran bahasa. Oleh itu, setiap kanak-kanak dengan sindrom Down harus menerima program terapi secara individu tetapi dasar prinsip dan amalan yang digunakan untuk intervensi yang berkesan adalah sama untuk semua kanak-kanak dengan sindrom Down.


Kemungkinan penyebab utama

Memori kerja (Working memory)

Kanak-kanak dengan sindrom Down mempunyai kesukaran yang spesifik dalam komponen gelung fonologi memori kerja (phonological loop component of working memory) yang dikaitkan dengan kemampuan bukan lisan mereka, dan ia dianggap sebagai penyebab utama kesukaran yang mereka hadapi dari segi pertuturan dan bahasa (Jarrold & Baddeley, 2001). Bagi semua kanak-kanak, gelung fonologi dianggap memainkan peranan penting dalam mempelajari bahasa lisan kerana gelung tersebut memegang corak bunyi perkataan untuk membolehkan kanak-kanak menghubungkannya dengan makna dan menyimpannya bagi menyokong penghasilan perkataan yang dituturkan. Kesukaran gelung fonologi akan mempengaruhi pembelajaran kosa kata dan pembelajaran tatabahasa (lihat kajian Buckley Bird, 2001).


Ingatan visual jangka pendek tidak terganggu berbanding kemampuan mental bukan lisan dan digambarkan sebagai kekuatan mereka. Bahkan, kajian telah menunjukkan bahawa pengekodan visual dari maklumat lisan digunakan oleh kanak-kanak dengan sindrom Down dalam tugas ingatan jangka pendek (Broadley, MacDonald. & Buckley, 1995; Jarrold & Baddeley, 2001).


Pendengaran

Sebilangan besar kanak-kanak dengan sindrom Down (sekurang-kurangnya 80-90%) mengalami masalah pendengaran konduktif dan kesulitan mendiskriminasi pendengaran yang akan meningkatkan kesukaran gelung fonologi. Walau bagaimanapun, kesukaran gelung fonologi dianggap wujud secara sendiri dan bebas daripada sebarang masalah pendengaran.


Kesukaran motor pertuturan

Kesukaran untuk mengeluarkan suara dan menghasilkan perkataan juga mempunyai sebab fizikal. Hal ini berkaitan dengan kesukaran kemahiran oro-motor yang berkaitan dengan sindrom Down yang ditunjukkan dari tahun pertama kehidupan mereka lagi, yang mempengaruhi corak makan dan mengunyah. Bagi semua kanak-kanak, perkataan pertama dapat diramalkan dari bunyi pertuturan yang dapat mereka buat ketika mereka membebel (babbling) - dengan kata lain perbendaharaan kata awal dipengaruhi oleh kemahiran artikulasi dan fonologi yang ada, bukan sebaliknya.


Kemungkinan penyebab sekunder

Pemerolehan perbendaharaan atau kosa kata yang perlahan

Perkembangan tatabahasa awal telah terbukti berkaitan dengan perkembangan perbendaharaan kata produktif keseluruhan bagi kanak-kanak biasa dan juga kanak-kanak dengan sindrom Down. Oleh kerana kadar perkembangan perbendaharaan kata produktif yang sangat perlahan dalam kalangan kanak-kanak dengan sindrom Down, ini mungkin bermaksud bahawa perkembangan tatabahasa menjadi lebih lewat melebihi tempoh optimum untuk pemerolehan tatabahasa (1-6 tahun) - untuk perbincangan penuh mengenai isu ini, lihat kajian Buckley (2000).


Kesan motor pertuturan

Kelewatan mengeluarkan perkataan pertama dan ucapan yang tidak difahami boleh mengurangkan atau mengubah input bahasa kepada kanak-kanak dengan sindrom Down. Kesukaran dengan penghasilan pertuturan mungkin memburukkan lagi kesukaran pembelajaran tatabahasa dan penghasilan tatabahasa.


Prinsip untuk intervensi yang berkesan

Berikut merupakan prinsip-prinsip yang disarankan dan disepakati oleh pakar pertuturan-bahasa di peringkat antarabangsa bagi memastikan intervensi yang dijalankan memberi impak positif dan berkesan untuk kanak-kanak sindrom Down.


Sasaran untuk keempat-empat domain

Terdapat empat komponen kemahiran pertuturan dan bahasa: 1) komunikasi, 2) perbendaharaan kata, 3) tatabahasa dan 4) pertuturan yang dikenalpasti menjadi keperluan dan mempunyai sasaran tersendiri untuk setiap kanak-kanak.


Sasaran untuk pemahaman bahasa dan pengeluaran bahasa

Untuk perbendaharaan kata dan tatabahasa, sasaran yang berbeza diperlukan untuk pemahaman dan pengeluaran bahasa.

  • Menggunakan sistem isyarat

Penggunaan sistem isyarat dapat merangsang dan mempromosikan penggunaan bahasa lisan dan juga memberi manfaat untuk pemahaman dan pengeluaran bahasa.


  • Menggunakan aktiviti membaca

Terdapat persetujuan mengenai pentingnya menggunakan aktiviti membaca untuk mengajar bahasa lisan kepada kanak-kanak dari semua peringkat umur. Khususnya, faedah menggunakan bacaan awal pada umur prasekolah sebagai salah satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran.


Ibu bapa adalah ahli terapi utama

Secara umumnya, pembelajaran bahasa berlaku sepanjang hari dan setiap hari kerana kanak-kanak terlibat dalam komunikasi dengan ahli keluarga dan rakan mereka. Oleh itu, fokus terapi yang berkesan mestilah berkongsi dan membantu ibu bapa untuk meningkatkan kemahiran mereka kerana mereka merupakan terapis yang terbaik buat anak.



Rujukan:

Buckley, S, and Le Prèvost, P. (2002) Speech and language therapy for children with Down syndrome.Down Syndrome News and Update, 2(2), 70-76.


Jarrold, C. & Baddeley, A. (2001) Short-term memory in Down syndrome: Applying the working memory model. Down Syndrome Research and Practice, 7 (1), 17-24.


Comments


Back to top

bottom of page