Tajuk perbincangan kali ini merupakan salah satu tajuk yang dekat di hati saya. Ini kerana lebih 70% kanak-kanak dengan kelewatan perkembangan bahasa dan pertuturan yang dibawa berjumpa dengan saya juga mempunyai masalah makan.
Isu makan dan pertuturan sangat berkait di antara satu sama lain. Kajian Kerzner et al. (2015) serta Manikam dan Perman (2000) mendapati 25 ke 40% kanak-kanak dilaporkan mempunyai masalah makan. Peratus masalah tersebut menjadi tinggi iaitu mencecah 80% pada populasi kanak-kanak dengan kelewatan perkembangan atau yang berkeperluan khas.
Ada beberapa soalan lazim yang sering ditanya oleh ibu bapa seperti:
"Anak saya ada kelewatan dalam kemahiran makan, adakah ini bermaksud yang dia juga akan lambat dalam perkembangan pertuturannya?"
Tidak dapat disangkal yang kita menggunakan anatomi yang sama untuk menghisap, makan dan minum seperti yang kita lakukan untuk bercakap. Kedua-dua kemahiran tersebut berkembang secara selari.
Ketika kanak-kanak berkembang, mereka mula membina pergerakan asas motor-lisan yang digunakan ketika makan (iaitu pergerakan bibir, lidah dan lelangit) untuk memperoleh kemahiran kompleks yang diperlukan untuk penghasilan pertuturan.
Bayi biasanya menggunakan pergerakan motor-lisan tertentu semasa makan sebelum mereka menggabungkan pergerakan ini dengan suara dalam permainan suara mereka. Bayi biasanya meningkatkan vokalisasi dan suara mereka setelah diperkenalkan dengan makanan yang lebih bertekstur.
Adakah terdapat hubungan langsung antara kedua kemahiran tersebut?
Apabila kanak-kanak mengalami kesukaran dengan pergerakan dan koordinasi oromotor tertentu semasa makan, mereka cenderung mengalami kesukaran yang serupa dalam penghasilan pertuturan.
Sebagai contoh, kanak-kanak yang mengalami kesukaran untuk mengangkat hujung lidah ketika makan, mereka mungkin akan mengalami kesulitan untuk mengangkat hujung lidah semasa bertutur (penghasilan bunyi seperti /d/, /n/ dan /l/).
Walau bagaimanapun, ini tidak membuktikan bahawa pergerakan mulut ketika makan diperlukan untuk perkembangan pertuturan. Jika tidak, mengapa bayi yang diberi makan secara eksklusif melalui tiub makan boleh mengembangkan pertuturan mereka? Kanak-kanak tersebut mungkin tidak mempunyai pengalaman makan secara oral tetapi mereka dapat terus berkembang dari segi pertuturan tanpa kesulitan. Ini menunjukkan bahawa pengalaman lisan selain makan dapat menyumbang kepada perkembangan pertuturan.
Bayi dan kanak-kanak juga mengembangkan kemahiran lisan mereka dengan memberi perhatian kepada mainan, objek, jari dan lain-lain. Mereka meneroka dunia deria mereka melalui mulut dan lidah mereka. Mereka belajar bagaimana perasaan dan apa yang dapat dilakukan oleh anatomi mulut (bibir, lidah, lelangit dan pipi). Kesedaran deria seperti itu juga merupakan bahagian penting dalam perkembangan pertuturan.
Memang terdapat kaitan antara perkembangan makan dan pertuturan kerana kedua-dua sistem tersebut menggunakan anatomi dan proses yang serupa. Perkembangan makan bermula dengan menghisap berulang kali - kemahiran tersebut diperhalusi dan diperbaiki oleh bayi dari masa ke masa. Membebel (babbling) juga menggunakan cara yang sama berulang-ulang dan diperhalusi dari masa ke masa, (iaitu asas kepada perkembangan pertuturan).
Namun begitu, terdapat beberapa saintis percaya bahawa makan dan pertuturan berkembang menggunakan dua jalan berbeza di dalam otak. Kedua-dua sistem ini saling berkaitan tetapi perkembangan pertuturan tidak bergantung pada perkembangan makan. Oleh itu, tidak ada kaitan sebab-akibat langsung - iaitu, jika anak anda menghadapi masalah makan, itu tidak bermakna mereka akan mengalami kesukaran untuk mengeluarkan suara dan pertuturan. Begitu juga dengan kanak-kanak yang mengalami masalah dalam pertuturan, tidak semestinya mempunyai masalah dengan makan.
Apa yang penting ialah setiap kanak-kanak yang mengalami kesukaran untuk makan diberi peluang untuk membina kemahiran ini melalui pengalaman motor dan deria, bermain suara dan memerhati orang dewasa memodelkannya. Walaupun kebanyakan kanak-kanak mengembangkan kemahiran motor-lisan melalui makan terlebih dahulu dan kemudian menggeneralisasikannya kepada penghasilan pertuturan, kanak-kanak lain mungkin mengembangkan kemahiran mereka pada mulanya melalui permainan suara dan kemudian menggeneralisasikan kemahiran ini untuk digunakan dalam manipulasi makanan dan minuman.
Rujukan:
Kerzner, B., Milano, K., MacLean, W. C., Berall, G., Stuart, S., & Chatoor, I. (2015). A practical approach to classifying and managing feeding difficulties. Pediatrics, 135(2), 344-353.
Manikam, R., & Perman, J. A. (2000). Pediatric feeding disorders. Journal of clinical gastroenterology, 30(1), 34-46.
Комментарии